Kegagalan perancangan, R&D punca lambakan durian

Kegagalan perancangan, R&D punca lambakan durian

LAMBAKAN durian menyebabkan kejatuhan harga serendah 50 sen hingga RM 1 sebiji menjejaskan pendapatan pengusaha raja buah itu. – Utusan/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan perancangan dan kelemahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dikenal pasti antara punca utama lambakan durian sehingga menyebabkan kejatuhan harga dan menjejaskan pendapatan petani.

Pensyarah Institut Sains Biologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Muhamad Shakirin Mispan berkata, lambakan hasil pertanian bukan sahaja melibatkan faktor dalaman tetapi luaran khususnya kelemahan dalam aspek R&D bagi pengusahaan durian secara komersial.

Katanya, apabila pengeluaran berlaku serentak tanpa mekanisme penyelarasan, bekalan akan melebihi permintaan sehingga memaksa pekebun menjual hasil pada harga yang jauh lebih rendah

“Antara jurang kritikal yang dikenal pasti adalah keperluan teknologi untuk menyelaraskan musim pengeluaran mengikut zon bagi mengelakkan bekalan bertembung di pasaran.

“Negara juga memerlukan kaedah saintifik bagi mengawal pembungaan durian kerana terdapat kawasan yang dikesan berbuah sehingga tiga kali setahun.

“Kitaran yang tidak semula jadi ini dibimbangi boleh merencatkan jangka hayat pokok durian dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, Malaysia masih kekurangan inovasi teknologi canggih yang mampu menyimpan dan mengekalkan tahap kesegaran buah durian selepas dituai.

“Fenomena lambakan drastik seperti ini dijangka akan terus berulang sekali dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Pihak kerajaan bersama para petani digesa untuk mula merangka strategi jangka panjang yang lebih proaktif dari sekarang.

“Langkah persediaan awal ini penting bagi memastikan rantaian ekonomi industri durian negara kekal mampan sekiranya situasi sama kembali berulang,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhamad Shakirin berkata, fenomena lambakan durian yang melanda negara kini dipercayai berpunca daripada faktor perubahan cuaca ekstrem khususnya impak tekanan haba akibat fasa cuaca panas beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, situasi tersebut berkemungkinan besar telah merangsang pengeluaran bunga dan buah secara serentak di kebanyakan kawasan.

Katanya, faktor ini sekali gus mendorong kepada lambakan bekalan luar biasa di pasaran domestik ketika ini.

“Hipotesis mengenai impak tekanan haba terhadap pokok durian ini perlu diperincikan melalui kajian saintifik yang lebih mendalam pada masa hadapan.

“Satu kajian khusus serta pengumpulan data yang tepat mengenai rantaian suhu setempat dan trend pengeluaran hasil perlu dilakukan segera oleh pihak berwajib.

“Langkah ini penting bagi membuktikan kaitan langsung antara faktor iklim semasa dengan peningkatan mendadak hasil raja buah tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, kejatuhan harga durian seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain industri untuk mempromosikan durian Malaysia sebagai produk pelancongan premium.

“Kerjasama bersasar antara komuniti petani dan pihak kerajaan amat diperlukan bagi mengkoordinasi penganjuran pesta durian secara lebih sistematik.

“Langkah koordinasi ini bukan sahaja mampu mengelakkan pembaziran lambakan buah malah membantu petani mengurangkan kerugian di peringkat ladang.

“Inilah peluang keemasan untuk golongan rakyat marhaen menikmati varieti durian premium pada harga yang sangat berpatutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN