SUNGAI SIPUT: Sebagai alternatif mengatasi harga durian yang rendah akibat lambakan raja buah itu ketika ini ialah dengan membuat tempoyak kerana harganya stabil selain disukai ramai untuk masakan gulai tradisional popular.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian & Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, terdapat banyak pilihan bagi pemilik, peraih dan penjual memasarkan buah durian masing-masing.
“Sebenarnya banyak pilihan, bukan lambakan, kalau kita ada inisiatif dan kreativiti bagaimana untuk memasarkan durian.
“Tempoyak pun dapat permintaan yang tinggi, jualan harga yang agak mahal juga. Kalau kita nak makan tempoyak sangat ni, bila bukan musim dia, bukan senang nak dapat tempoyak pula tu,” katanya ditemui pada Majlis Jelajah Sejahtera Agro @ DUN Lintang di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Azleena Zainal Abidin.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia mendapati harga sekilogram tempoyak yang merupakan isi buah durian yang telah diasingkan bijinya boleh mencecah RM25 sebekas.
Tempoyak, bahan utama gulai dan sambal tempoyak itu digemari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum di negara ini, sekali gus menjadikannya produk hiliran berpotensi tinggi.
Terdapat di beberapa kawasan di negeri ini, durian kampung dijual pada harga lebih rendah bagi memastikan ia dapat dihabiskan dalam tempoh musim puncak.
Dalam pada itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak turut membantu pekebun dan usahawan tani dengan menetapkan harga lantai RM2.70 sekilogram sebagai langkah intervensi bagi mengelakkan kerugian besar akibat lambakan stok durian musim ini. – UTUSAN










