PETALING JAYA: Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) perlu dipinda segera bagi memastikan kepentingan pendeposit dan memperkukuh tadbir urus agensi berkenaan.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, antara cadangan pindaan perlu dilaksanakan adalah mengekalkan jaminan kerajaan secara bersyarat, termasuk memastikan perlindungan utama diberikan kepada simpanan asas haji, manakala simpanan melebihi had tertentu dinilai berdasarkan pendekatan berbeza.
Selain itu katanya, TH perlu diletakkan di bawah rangka kawal selia kewangan yang lebih menyeluruh dengan pengawasan sama sebagaimana institusi kewangan lain, selain diwajibkan membuat pendedahan prestasi pelaburan, risiko dan kedudukan kewangan secara lebih telus.
“Bagi aspek syariah, pindaan Seksyen 24 perlu membenarkan dua pengecualian utama iaitu pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah berkaitan nafkah, mutaah dan hadanah.
“Ini membolehkan pelaksanaan perintah hiwalah atau potongan daripada akaun TH dalam keadaan tertentu, selaras dengan prinsip maqasid syariah khususnya pemeliharaan keturunan,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tidak mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan (RCI) mengenai (TH) tiga tahun lalu dibuat bagi mengelakkan krisis keyakinan yang boleh menyebabkan institusi tersebut gulung tikar.
Katanya, jika laporan penyelewengan pengurusan terdahulu yang didakwa mengakibatkan kerugian melebihi RM10 bilion diterbitkan ketika itu, pendeposit berkemungkinan besar akan mengeluarkan simpanan mereka sehigga menjejaskan kedudukan kewangan TH.
Dalam pada itu Aimi Zulhazmi berkata, dengan pindaan ini juga membolehkan pendedahan maklumat akaun dalam kes kritikal melibatkan perintah mahkamah, penguatkuasaan cukai atau pencegahan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun katanya, cadangan pindaan tidak bermaksud membuka akses kepada akaun pendeposit secara bebas. Sebaliknya, ia perlu tertakluk kepada kawalan ketat seperti arahan mahkamah atau peruntukan undang-undang tertentu.
Sementara itu penganalisis ekonomi Pakar Ekonomi Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jaminan kerajaan harus dikekalkan untuk menjamin simpanan pendeposit TH bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah haji tanpa risau kehilangan wang simpanan mereka.
“Selain itu, TH perlu dijamin sama sebagaimana institusi kewangan lain seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar pendeposit yakin terhadap institusi berkenaan,” katanya. – UTUSAN










