ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan pasukan peguamnya sedang menguruskan penyerahan surat tuntutan (LOD) kepada pihak yang didakwa memutar belit kenyataannya dalam ceramah di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tindakan undang-undang tersebut diambil terhadap individu yang didakwa memanipulasi, menokok tambah serta mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar.
Katanya, langkah itu bertujuan memberi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menyebarkan tafsiran yang tidak tepat terhadap ucapannya.
“Mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan perkara yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputar belit tanpa diperiksa, selain memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar.
“Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua,” katanya dalam kenyataan di akaun media sosialnya di sini, hari ini.
Berdasarkan paparan LOD yang disertakan di akaun media sosialnya itu, individu pertama yang menerima surat berkenaan adalah Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.
Sabtu lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya berkaitan sejarah demi kepentingan politik.
Beliau turut memaklumkan laporan polis akan dibuat terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataan berkenaan, sambil menegaskan ucapan yang disampaikan hanyalah berdasarkan fakta sejarah dan tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau pihak tertentu.
Ahad lalu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim, membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang pemimpin politik yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai petikan ucapan Muhammad Sanusi dalam ceramah tersebut.
Beliau berkata, tuduhan kononnya Muhammad Sanusi menyebut frasa ‘Kalau India balik ke India, kalau Cina balik ke China’ adalah tidak tepat, menghasut dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di negara ini.-UTUSAN










