ARAU: Hari ini, merupakan detik bersejarah buat Universiti Malaysia Perlis (Unimap) apabila julung kalinya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu bakal meraikan sambutan Jubli Perak bersempena 25 tahun penubuhan.
Unimap secara rasmi ditubuhkan pada 25 Julai 2001 di mana ketika itu dikenali Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) dengan hanya menawarkan dua program iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan Mikroelektronik dan Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer serta mempunyai sekitar lebih seratus pelajar.
Selepas 25 tahun, Unimap semakin berkembang menjadi sebuah universiti teknikal disegani dengan kini memiliki hampir 16,000 pelajar dan lebih 50 program akademik bermula daripada diploma hinggalah Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Pengembangan universiti sepanjang tempoh tersebut turut menjadikan ia antara peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kejuruteraan negara.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, sambutan Jubli Perak bukan sekadar mengimbau sejarah penubuhan universiti, tetapi menjadi titik permulaan kepada fasa baharu pembangunan universiti melalui Pelan Strategik Unimap 2026–2030.
Beliau berkata, pelan itu dirangka selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP2030) serta National Energy Transition Roadmap (NETR).

Katanya, ia bagi memastikan Unimap terus relevan dengan keperluan negara dan industri.
“Menjelang 2030, Unimap menyasarkan tiga teras utama di mana fokus adalah bagi memperkukuh institusi tersebut sebagai universiti teknikal pilihan melalui peningkatan enrolmen kepada 18,000 pelajar serta pengukuhan bidang TVET dan kejuruteraan.
“Selain itu, Unimap menyasarkan menjadi universiti pilihan industri dengan meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan melebihi 99.5 peratus, memperkukuh reputasi majikan serta menghasilkan graduan yang benar-benar tersedia industri. Dalam masa yang sama, kita juga akan terus meningkatkan reputasi global melalui penarafan antarabangsa, jaringan strategik dan pengiktirafan akademik.
“Semua ini akan digerakkan melalui enam objektif strategik (OS) iaitu Keunggulan Akademik, Kebitaraan Bakat, Kesohoran Global, Transformasi Penyelidikan, Sinergi Industri dan Kemampanan Kewangan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Zaliman berkata, pencapaian terbesar Unimap bukan sekadar terletak pada bangunan atau penarafan, sebaliknya kepercayaan semakin kukuh dalam kalangan masyarakat, industri dan pelajar terhadap universiti itu.
Katanya, Unimap juga mencatatkan enrolmen tertinggi dalam sejarah penubuhan dengan mempunyai hampir 16,000 pelajar dari peringkat diploma hingga PhD, dan ini menunjukkan semakin ramai memilih institusi pengajian itu sebagai destinasi utama dalam bidang TVET, kejuruteraan dan teknologi.
“Dalam tempoh 25 tahun, Unimap juga telah melahirkan lebih 41,000 alumni yang kini berkhidmat di pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa. Saya juga amat berbangga apabila kadar kebolehpasaran graduan Unimap melebihi 99 peratus tiga tahun berturut-turut.
“Ramai dalam kalangan alumni kita juga memperoleh pekerjaan berkualiti dengan gaji premium,” katanya.
Zaliman memberitahu, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, enrolmen pelajar antarabangsa di universiti itu juga meningkat lebih dua kali ganda daripada 328 pelajar pada penghujung 2023 kepada 612 pada 2025.
Katanya, Unimap juga menyasarkan seramai 800 pelajar antarabangsa tahun ini dan mencapai sehingga 1,000 menjelang penghujung 2027.
“Ini bukan pertumbuhan kebetulan. Kami membina rangkaian kerjasama merentasi benua melalui lebih 200 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) melibatkan pelbagai institusi pengajian luar negara,” katanya.

Menurutnya, sejak 2003 hingga Jun tahun ini, Unimap juga memperoleh geran penyelidikan industri terkumpul berjumlah lebih daripada RM41 juta, termasuk hampir RM3 juta tahun ini.
Dalam masa yang sama, Zaliman berkata, Unimap turut mempunyai lebih 150 MoU dan MoA bersama rakan industri dari dalam dan luar negara, sekali gus membuktikan kepercayaan terhadap kepakaran penyelidik Unimap.
“Antara contoh kejayaan penyelidikan berimpak ialah seperti projek Solar Off-Grid 10kW di Pulau Tuba, Langkawi, yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, selain projek pemasangan lampu solar di Tawau, Sabah yang memberi manfaat kepada komuniti luar bandar,” katanya.
Zaliman berkata, Unimap turut merancang bidang akademik baharu seperti Advanced Packaging Semiconductor, Automotif EV, Keselamatan Siber dan Logistik selaras dengan keperluan industri semasa serta NIMP2030.
“Ia turut disokong oleh peningkatan program pembelajaran berasaskan kerja (WBL) dan mod industri daripada tujuh kepada 12 program dalam memastikan pelajar mendapat pendedahan industri sebenar sepanjang pengajian.
“Matlamat kami mudah iaitu pastikan graduan Unimap sentiasa relevan, bukan sekadar mengikut arus, tetapi menerajui perubahan itu sendiri,” katanya. – UTUSAN










