KUALA LUMPUR: Seramai 4,008 atau lebih 99.9 peratus daripada 4,010 pelarian merupakan warga Myanmar dengan majoritinya etnik Rohingya telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, baki dua tahanan masing-masing ialah seorang warga Sudan dan seorang lagi warga Syria.
Katanya, mereka merupakan antara 4,010 tahanan telah didaftarkan di bawah Fasa Satu Program Dokumen Pendaftaran Pelarian yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen.
“Daripada keseluruhan 4,010 tahanan itu, seramai 2,746 merupakan lelaki dewasa, 632 wanita dewasa, 392 kanak-kanak lelaki dan 240 kanak-kanak perempuan.
“Migran yang ditentu sahkan statusnya diberikan satu pas khas berbentuk kad sebagai dokumen identiti rasmi kepada golongan ini dan dokumen tunggal yang diiktiraf oleh kerajaan bagi membenarkan pemegangnya tinggal sementara di Semenanjung Malaysia sehingga pengurusan akhir dilaksanakan ke atas pemegang kad,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang meminta kerajaan menyatakan status pelaksanaan program Dokumen Pendaftaran Pelarian dan bilangan pelarian yang telah mendapat kebenaran untuk bekerja di Malaysia.
Saifuddin berkata, semua tahanan berkenaan dipindahkan secara berperingkat ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka di Bidor, Perak yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang pada satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian.
Menurut beliau, sehingga Jun lalu, seramai 128 tahanan warga Myanmar etnik Rohingya, terdiri daripada 127 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa telah dipindahkan ke pusat berkenaan.
“Daripada jumlah itu, seramai 78 individu, iaitu 77 lelaki dan seorang wanita telah diluluskan status pelarian di bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian, manakala pembebasan mereka akan dilaksanakan selepas semua proses berkaitan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, Fasa Dua Program Dokumen Pendaftaran Pelarian yang melibatkan pemegang kad UNHCR dan individu yang mengaku sebagai pelarian di luar Depot Tahanan Imigresen dijadual bermula pada separuh kedua tahun ini.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri menyasarkan keseluruhan proses pendaftaran golongan tersebut selesai menjelang 31 Disember 2029.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek rintis Program Pekerjaan Depot Tahanan Imigresen turut dilaksanakan terhadap 78 individu yang telah diluluskan status pelarian, dengan 25 daripadanya dikenal pasti layak untuk diambil bekerja.
Tambah beliau, keseluruhan proses pendaftaran Program Depot Tahanan Imigresen dikendalikan sepenuhnya oleh Task Force Pendaftaran Pelarian di Jabatan Imigresen Malaysia tanpa melibatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN










