KANGAR: Kekerapan perjalanan feri Kuala Perlis ke Langkawi yang sebelum ini mencecah 10 trip sehari kini merosot kepada hanya tiga hingga empat perjalanan sehari akibat masalah alur pelayaran cetek yang berlarutan sejak sekian lama.
Terbaharu, perkhidmatan feri Kuala Perlis-Satun yang baru beroperasi kurang seminggu terpaksa ditangguhkan sementara apabila laluan masuk serta kawasan berlabuh terjejas akibat mendapan lumpur.
Masalah mendapan lumpur dan beting pasir di muara Kuala Perlis bukan perkara baharu apabila menjejaskan kelancaran operasi feri ke Langkawi, malah menyebabkan jadual perjalanan sering dipinda atau dibatalkan.
Sejak 2003 hingga 2022, sebanyak RM101.1 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja pengerukan di muara Kuala Perlis bagi mengatasi isu berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kerja pengerukan yang dilaksanakan setiap tahun hanya bersifat sementara dan tidak mampu menjadi penyelesaian jangka panjang kerana masalah sama kembali berulang.
Katanya, kaedah tersebut juga memerlukan kos tinggi yang mencecah puluhan juta ringgit setiap tahun.
“Pengerukan tidak boleh menyelesaikan masalah alur pelayaran cetek ini secara menyeluruh. Kita perlu mencari satu penyelesaian yang lebih mampan untuk memastikan operasi feri tidak lagi terganggu.
“Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah pembinaan jeti, titi atau jambatan yang memanjang kira-kira satu hingga dua kilometer ke tengah laut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beberapa pelabur menyatakan minat terhadap cadangan berkenaan yang dianggarkan menelan kos sekitar RM500 juta dengan perbincangan bersama pihak berkaitan kini berada pada tahap kira-kira 60 peratus.
Kerajaan negeri sedang menilai cadangan terbaik sebelum dimuktamadkan dan buat masa ini pembinaan infrastruktur baharu itu dijangka mampu mengatasi masalah mendapan selut dan feri terkandas apabila siap kelak.
“Jika operasi feri terganggu, kita mengalami kerugian kerana pelancong akan memilih laluan lain seperti Kuala Kedah untuk ke Langkawi.
“Lebih baik kita membuat pelaburan sekali dengan nilai besar tetapi mampu menyelesaikan masalah jangka panjang serta memberi manfaat kepada ekonomi negeri,” katanya.
Terminal feri Kuala Perlis yang mula beroperasi sekitar 1993 menjadi antara pintu masuk utama pelancong dari seluruh negara ke Pulau Langkawi menerusi laluan laut. – UTUSAN










