Rekod pencapaian jadi sandaran Mohd. Yusla

Rekod pencapaian jadi sandaran Mohd. Yusla

MOHD. YUSLA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PENCAPAIAN dan pelbagai kerja pembangunan yang telah dilaksanakan di Senggarang sejak memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 2022 menjadi sandaran calon Barisan Nasional (BN), MOHD YUSLA ISMAIL untuk terus mempertahankan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, ARIF AIMAN ASROL, Mohd Yusla berkongsi mengenai ‘kad laporan’ sepanjang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, selain matlamat yang mahu direalisasikan jika terus diberi kepercayaan oleh pengundi.

UTUSAN: Boleh cerita apa yang sudah dilakukan sejak menang DUN Senggarang pada 2022?

MOHD YUSLA: Banyak per­kara atau masalah yang saya sudah selesaikan di Senggarang, sekarang sudah banyak lampu-lampu jalan dipasang untuk memastikan jalan di sini tidak gelap dan memudahkan rakyat.

Kalau dahulu di Senggarang jalannya gelap tetapi sekarang sudah terang, ini juga meningkatkan tahap keselamatan penduduk. Jalan di sini juga sudah menjadi lebih baik dan cantik, masa saya awal-awal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, garisan di jalan itu pun tidak ada.

Parit-parit di sini juga sudah dibersihkan bagi mengelak berlakunya banjir. Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga sebelum ini memberikan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk kerja-kerja pembersihan dan mendalamkan sungai di sini. Jadi, tahun ini Alhamdulillah tidak ada lagi banjir. Sungai pun sudah menjadi sangat cantik.

Bagaimana pula dengan aspek kebajikan penduduk?

Kita ada banyak bantuan yang sentiasa disalurkan kepada penduduk daripada kerajaan negeri, antaranya Bantuan Kasih Johor yang merupakan inisiatif daripada Menteri Besar Johor dan bantuan dari Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) melalui pembayar zakat.
Jadi Alhamdulilah, kebajikan rakyat sentiasa menjadi perhatian saya dan kerajaan negeri.

Jadi apa YB mahu lakukan?

Antara keutamaan yang akan diteruskan ialah agenda pembangunan yang belum dilaksa­nakan, khususnya penyediaan le­bih banyak rumah mampu milik. Di Senggarang terdapat ba­nyak orang muda dan mereka memerlukan rumah yang mampu milik. Jadi saya akan me­ngangkat isu kediaman untuk golongan belia ini.

YB akan hadapi saingan tiga penjuru, adakah ini memberikan cabaran?

Saya mengambilnya sebagai perkara yang positif, ia merupakan ketentuan Allah dan saya akan usahakan semampu boleh untuk memastikan Barisan Nasional (BN) di Johor dan rakyat khususnya di Senggarang sangat bijak memilih. Alhamdulillah, perjalanan kem­pen berjalan dengan lancar dan semakin hari semakin baik. Kita jelajah di seluruh DUN Senggarang untuk menyantuni semua pengundi di sini.

Pada 2022, YB memperoleh majoriti 3,912 undi, kali ini berapa disasarkan?

Saya sasarkan antara 5,000 ke 6,000 majoriti undi pada PRN Johor Ke-16, ini berdasarkan hasil gerak kerja yang dijalankan sejak awal pagi hingga lewat malam. Insya-Allah, dengan soko­ngan, bantuan dan dorongan daripada semua pihak termasuk dengan semua yang telah kita buat selama empat tahun iaitu sejak 2022, saya percaya rakyat akan dapat menilai dan memberi undi kepada BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN