Pulau Pinang pantau penempatan Rohingya selepas isu perpindahan

Pulau Pinang pantau penempatan Rohingya selepas isu perpindahan

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan terus memantau kawasan penempatan etnik Rohingya di Pulau Pinang ketika ini susulan isu perpindahan komuniti tersebut secara beramai-ramai dari Penaga di Kepala Batas, malam kelmarin.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemantauan itu perlu bagi mengelakkan timbulnya lebih banyak ketegangan antara komuniti terbabit dengan penduduk setempat.

Menurut Kon Yeow, isu perpindahan yang berlaku itu pula sebenarnya bukanlah atas arahan kerajaan negeri, sebaliknya, ia dilakukan secara sukarela oleh komuniti terbabit.

“Kita dapat tahu mereka (Rohingya) berpindah secara sukarela kerana ramai dalam kalangan rakyat tempatan bimbang dengan kehadiran komuniti ini kerana mereka membawa pengaruh yang kurang baik terutamanya dari aspek sosial serta ekonomi setempat.

“Negara kita ini ada undang-undang dan kita memang tidak boleh membenarkan sebarang tindakan yang menjejaskan kehidupan penduduk, mengganggu kegiatan mereka atau menyebabkan halangan kepada ruang awam.

“Jadi, mereka (warga asing termasuk etnik Rohingya) yang datang ke sini perlu menghormati undang-undang dan menggunakan saluran yang betul,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd. Rahman mengesahkan bahawa proses perpindahan lebih 100 etnik Rohingya dengan menaiki beberapa buah bas itu dibuat secara sukarela dengan diselaraskan oleh beberapa agensi berkaitan termasuk wakil daripada komuniti berkenaan.

Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak mensensasikan isu terbabit sehingga boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman awam.

Difahamkan, kesemua etnik Rohingya itu kini ‘berkampung’ di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur selepas tiba di ibu negara awal pagi, semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN