Program 'Go to Global' MARA sasar nilai jualan RM1 billion - Utusan Malaysia

Program ‘Go to Global’ MARA sasar nilai jualan RM1 billion

PENGERUSI MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki beramah mesra dengan penerima Pembiayaan PRIN sempena Himpunan Usahawan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan jualan RM1 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi program ‘Go to Global’ melibatkan seramai 176 usahawan bumiputera dalam usaha memperkukuh produk tempatan di pasaran antarabangsa.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu selari dengan komitmen pihaknya untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera berdaya saing.

“Program seperti himpunan usahawan di negeri Johor ini memang seiring dengan agenda besar MARA. Selain itu, agenda Johor untuk menjadi negeri maju juga melibatkan komponen utama iaitu pembangunan usahawan.

“Ini juga komponen teras kepada MARA, iaitu memperkasa usahawan-usahawan bumiputera. Kita mahu usahawan bumiputera Johor tidak ketinggalan dalam usaha kerajaan negeri merencanakan agenda Maju Johor 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Himpunan Usahawan Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.

Tambah Asyraf Wajdi, pendekatan paling berkesan membantu usahawan meningkatkan prestasi perniagaan ialah menerusi sesi padanan perniagaan yang diadakan agensi-agensi berkaitan, termasuk MARA sendiri.

“Matlamat kita ialah memastikan setiap usahawan dapat berkembang ke peringkat seterusnya. Cara paling berkesan ialah mereka bekerjasama antara satu sama lain. Manakala MARA akan menjadi payung kepada mereka dengan MARA Corp. bertindak sebagai pemacu kepada usaha berkenaan.

Pada masa sama, beliau memberitahu MARA kini telah mendapat kelulusan untuk memasarkan produk usahawan bimbingannya menerusi rangkaian pasar raya LuLu di negara-negara Arab.

“Inisiatif ini membabitkan 342 unit penyimpanan stok (SKU) produk usahawan MARA dengan nilai pasaran melebihi AS$100 juta.

“Usaha ini melibatkan usahawan-usahawan yang kita gembleng daripada MARA dan kita telah berjaya mendapatkan tempat untuk produk mereka dijual di seluruh Asia Barat. Ini sekaligus membuka ruang lebih banyak buat usahawan kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN