PRN Johor bukan referendum selamatkan seorang individu - AMK

PRN Johor bukan referendum selamatkan seorang individu – AMK

PRN Johor bukan referendum selamatkan seorang individu - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sepatutnya dijadikan medan untuk menyelamatkan masa depan politik seorang individu, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada kebajikan dan masa depan lebih empat juta rakyat negeri itu.

Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata, beliau hairan apabila ada pihak cuba mengheret PRN Johor menjadi referendum terhadap nasib seorang individu sehingga isu-isu sebenar yang membelenggu rakyat diketepikan.

Menurutnya, pilihan raya negeri seharusnya menjadi platform untuk membahaskan soal ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, bekalan air, banjir, perumahan serta pembangunan Johor secara menyeluruh.

“Adakah rakyat Johor akan keluar mengundi untuk menentukan masa depan negeri ini, atau dipaksa mengundi demi memenuhi agenda politik peribadi?

“Inilah masalah apabila sesebuah parti terlalu lama terperangkap dengan politik individu sehingga setiap kali pilihan raya berlangsung, segala-galanya kembali berkisar kepada usaha menyelamatkan seorang bekas pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan.

Danish berkata, rakyat Johor ketika ini lebih memerlukan kerajaan yang mampu menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menaik taraf infrastruktur, menyelesaikan isu banjir, menyediakan rumah mampu milik serta menangani masalah kos sara hidup.

Katanya, itulah referendum sebenar yang perlu diputuskan oleh rakyat dalam PRN Johor, bukannya menentukan nasib seorang individu.

Beliau berkata, sebagai seorang anak, seseorang mempunyai hak untuk mempertahankan bapanya, namun rakyat Johor tidak wajar diperalatkan bagi memperjuangkan agenda politik keluarga atau dijadikan alat untuk memberi tekanan terhadap proses kehakiman.

“Pilihan raya negeri bukan pentas membina tekanan politik terhadap proses kehakiman, apatah lagi menjadikan rakyat sebagai alat untuk membersihkan legasi mana-mana individu,” katanya.

Dalam pada itu, Danish mengingatkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah disabitkan bersalah dalam kes SRC International selain turut disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan utama membabitkan skandal 1MDB.

Menurutnya, penghakiman Mahkamah Tinggi turut menolak pembelaan bahawa bekas Perdana Menteri itu hanyalah mangsa yang diperdaya, sebaliknya mahkamah memutuskan wujud hubungan yang jelas antara Najib dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam pelaksanaan penyelewengan dana 1MDB.

Beliau berkata, mahkamah juga menolak dakwaan bahawa wang yang diterima Najib adalah sumbangan kerabat diraja Arab Saudi, sebaliknya memutuskan dana itu berasal daripada 1MDB.

“Malah, mahkamah turut menyatakan bahawa Najib bukan seorang pemimpin yang naif atau diperalatkan, sebaliknya mempunyai kawalan dan pengaruh yang besar sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan serta Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sehingga bertanggungjawab terhadap penyelewengan yang berlaku.

“Justeru, saya benar-benar hairan mengapa masih ada pihak mahu menjadikan PRN Johor sebagai pentas membina simpati terhadap seorang individu yang masih meneruskan proses rayuan di mahkamah.

“Apakah yang lebih penting? Masa depan lebih empat juta rakyat Johor atau masa depan politik seorang individu?” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN