BAGAN DATUK: Seorang anggota polis menyaksikan detik cemas apabila seorang wanita yang sedang mendukung anak lelakinya bertindak terjun ke dalam Sungai Perak dari Jambatan Sultan Nazrin Shah di sini semalam.
Koperal Mohd Fazli Osman, 38, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu dari pekan Bagan Datuk melalui jambatan berkenaan.
Menurutnya, dia berasa curiga selepas melihat sebuah kereta berhenti di bahagian tepi jambatan tersebut sebelum membuat keputusan berpatah balik untuk memeriksa keadaan.
“Kerana tidak sedap hati melihat kereta berhenti di tepi jambatan, saya berpatah balik. Sebaik tiba di lokasi, saya ternampak seorang wanita sedang mendukung anaknya.
“Ketika saya keluar dari kereta, saya hanya mendengar bunyi objek jatuh ke dalam sungai. Rupa-rupanya wanita itu sudah terjun dari jambatan bersama anaknya. Saya nampak wanita itu masih timbul, namun anaknya tidak kelihatan.
“Saya ingin membantu tetapi bimbangkan keselamatan anak yang saya bawa bersama, lalu saya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada Mingguan Malaysia. –UTUSAN










