GEORGE TOWN : Dua buah kediaman serta sebuah kereta jenis Nissan Almera mengalami kerosakan selepas dihempap oleh sebatang pokok besar yang tumbang di Jalan Batu Gantung, Air Itam di sini, kira-kira pukul 8.48 malam tadi.
Ketika kejadian, terdapat seorang warga emas berusia 83 tahun yang terperangkap dalam rumahnya. Bagaimanapun, lelaki itu berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong kemudian dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
“Sebaik sahaja tiba di sana, kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok yang tumbang dilakukan dengan dibantu oleh beberapa agensi lain termasuk polis, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) serta PBS (Pasukan Bomba Sukarela).
“Operasi ditamatkan kira-kira pukul 11.35 malam tadi selepas kawasan tersebut disahkan selamat serta tiada lagi risiko sebelum kes diserahkan kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, kejadian pokok tumbang itu berlaku susulan hujan lebat serta angin kencang di beberapa lokasi khususnya di sebelah pulau, malam tadi.-UTUSAN










