KOTA KINABALU: Gunung Kinabalu dipilih sebagai simbol perjalanan kewangan rakyat Malaysia menerusi satu ekspedisi khas anjuran mySalam yang membawa mesej kepentingan literasi kewangan kepada masyarakat.
Inisiatif menerusi program Bijak Wang itu menekankan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai ‘gunung’ atau cabaran kewangan tersendiri yang perlu didaki dengan ilmu, persediaan dan disiplin yang kukuh.
Sempena ekspedisi itu, mySalam yang diuruskan oleh Great Eastern Takaful Bhd turut mengambil inisiatif menganjurkan podcast bertajuk ‘Menawan Puncak Ketahanan Kewangan’ bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang cara mengurus kewangan secara berkesan.
Podcast itu menampilkan Ketua Skim mySalam, Syuhaib Ithnin, sebagai moderator dan dijayakan oleh tiga panelis iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Radzuan Mohamed, Usahawan dan Pengasas Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak serta malim gunung dan porter Gunung Kinabalu, Jvy Mius.
Menurut Syuhaib, ramai rakyat berdepan pelbagai cabaran kewangan seperti peningkatan kos sara hidup, beban hutang, simpanan yang tidak mencukupi serta keperluan membuat persediaan menghadapi situasi yang tidak dijangka.
Justeru, katanya, pengurusan kewangan yang baik menjadi asas penting dalam membantu mereka mencapai kestabilan kewangan dan menerusi inisiatif Bijak Wang, ia sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan pendidikan kewangan masyarakat.
“Ekspedisi ini membawa mesej bahawa mendaki gunung dan mengurus kewangan mempunyai banyak persamaan. Kedua-duanya memerlukan perancangan yang teliti, pengetahuan yang mencukupi, disiplin untuk kekal konsisten serta keberanian mengambil langkah pertama.
“Kejayaan tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya bermula dengan usaha kecil yang dilakukan secara berterusan. Seperti pendakian Gunung Kinabalu yang memerlukan setiap langkah untuk sampai ke puncak, perjalanan kewangan juga memerlukan tindakan secara berperingkat bagi mencapai matlamat yang diinginkan.
“Antara langkah awal yang boleh diambil ialah mempelajari asas pengurusan kewangan, membina tabiat menyimpan secara konsisten serta mendapatkan perlindungan kewangan yang bersesuaian. Langkah kecil ini diyakini mampu membawa perubahan besar dalam jangka panjang,” katanya.

Pada masa yang sama, Syuhaib mengakui bahawa cabaran utama ketika ini bukanlah kekurangan maklumat berkaitan kewangan, sebaliknya bagaimana menarik perhatian masyarakat untuk benar-benar mengambil peduli terhadap kepentingan literasi kewangan dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, pendekatan kreatif menerusi siri podcast dipilih bagi menyampaikan mesej tersebut kepada masyarakat dengan lebih dekat dan mudah difahami. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kesedaran bahawa ilmu kewangan ialah kemahiran hidup yang perlu dimiliki oleh setiap individu.
“mySalam merakamkan dua podcast literasi Bijak Wang di Panalaban dan puncak Gunung Kinabalu. Langkah ini bukan sekadar mencipta kelainan, malah menjadi simbol bahawa ilmu kewangan tidak seharusnya hanya disampaikan di seminar atau bilik mesyuarat, sebaliknya perlu dibawa terus kepada masyarakat melalui pendekatan yang lebih relevan dan menarik.
“Setiap rakyat Malaysia ada ‘gunung’ masing-masing. Ada yang sedang mendaki cabaran kos sara hidup, hutang atau masa depan keluarga. Namun, dengan ilmu, persediaan dan langkah kecil yang konsisten, setiap puncak mampu dicapai.
“mySalam berharap ekspedisi ini dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memulakan perjalanan ke arah kehidupan kewangan yang lebih baik tanpa mengira sebesar mana cabaran yang dihadapi. Kami bukan sekadar mendaki untuk sampai ke puncak. Kami mendaki supaya mesej kewangan ini sampai kepada rakyat,” katanya.
Lebih menggembirakan kata Syuhaib, podcast berkenaan juga telah mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Podcast Literasi Kewangan di Altitud Tertinggi.
“Podcast ini akan ditayangkan secara ‘bit-sized’ melalui platform media social mySalam secara berperingkat untuk tatapan umum,” katanya.-UTUSAN










