KUALA TERENGGANU: Hukum penyertaan dalam program cabutan bertuah bergantung kepada mekanisme pelaksanaannya dan boleh diharuskan sekiranya memenuhi syarat ditetapkan syarak.
Mufti Terengganu, Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar berkata, sesuatu program cabutan bertuah hendaklah bebas daripada unsur perjudian (maisir), ketidakpastian melampau (gharar), penipuan (ghish), eksploitasi pengguna serta pengambilan harta secara batil.
Katanya, berdasarkan penelitian terhadap pandangan fuqaha dan keputusan badan-badan fatwa semasa, cabutan bertuah dikategori sebagai harus sekiranya memenuhi beberapa syarat utama.
“Antaranya, peserta tidak dikenakan sebarang bayaran tambahan khusus untuk menyertai cabutan, harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan adalah pada harga pasaran sebenar dan tidak dinaikkan bagi menampung kos hadiah.
“Selain itu, pembelian produk bukan bertujuan utama untuk mendapatkan peluang memenangi hadiah semata-mata, hadiah disediakan oleh pihak penganjur daripada sumber dana yang sah dan bukannya daripada wang penyertaan peserta serta terma dan syarat pertandingan dinyatakan secara jelas, telus dan adil,” katanya menerusi surat rasmi sebagai menjawab pertanyaan awam berhubung trend semasa penganjuran cabutan bertuah termasuk yang dilaksanakan menerusi platform digital.
Menurut Syed Hadzrullathfi, sekiranya pelanggan diwajibkan membuat bayaran tambahan, membeli kupon khas atau menanggung kos tertentu sebagai syarat penyertaan bagi memperoleh peluang memenangi hadiah, amalan tersebut berpotensi mengandungi unsur perjudian yang diharamkan oleh syarak.
Katanya, perkara sama turut terpakai sekiranya harga produk dinaikkan secara tidak munasabah bagi membiayai hadiah yang ditawarkan.
“Setiap program cabutan bertuah, khususnya dalam konteks promosi digital dan pemasaran semasa, perlu dinilai berdasarkan struktur pelaksanaan, sumber pembiayaan hadiah, syarat penyertaan serta implikasinya terhadap pengguna.
“Penilaian hukum tidak boleh dibuat secara umum terhadap semua bentuk cabutan bertuah tanpa melihat kepada mekanisme sebenar sesuatu program,” katanya.
Menurut beliau, Garis Panduan Berasaskan Hadiah yang diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-84 boleh dijadikan rujukan dalam memastikan pelaksanaan program cabutan bertuah mematuhi prinsip syariah. – UTUSAN










