KOTA KINABALU: Sejumlah 95 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) tidak berdaftar secara sah dikesan beroperasi di Sabah, ketika menunggu permohonan dilakukan pihak berkuasa tempatan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, sebahagian Taska terbabit ada yang dalam proses mohon kelulusan untuk beroperasi.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengingatkan ibu bapa supaya menghantar anak ke taska berdaftar bagi menjamin aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka.
“Walaupun kes penderaan kanak-kanak boleh berlaku di mana-mana termasuk di rumah, Taska berdaftar menawarkan perlindungan lebih baik kerana tertakluk kepada pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa.
“Kita perlu mencari penyelesaian dan mengenal pasti punca berlakunya penderaan bagi membolehkan langkah pencegahan dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa,” katanya pada penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Sabah, hari ini.
Julita berkata, ibu bapa juga perlu sedar menghantar anak ke Taska tidak berdaftar mendedahkan mereka kepada risiko lebih besar kerana tiada pemantauan berkala dijalankan.
Katanya, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) kini menjadi syarat wajib kepada semua Taska berdaftar sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan kanak-kanak.
“Semua Taska ingin berdaftar perlu memenuhi syarat termasuk pemasangan CCTV memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa dipantau,” katanya.
Julita berkata, Sabah masih berdepan kekurangan kemudahan penjagaan awal kanak-kanak apabila hanya kira-kira 230 Taska berdaftar beroperasi di negeri ini.
Katanya, berdasarkan unjuran semasa, jumlah kanak-kanak berusia antara sifar hingga empat tahun di Sabah dijangka mencecah 445,000 orang menjelang 2030, sekali gus memerlukan kira-kira 110,000 tempat di Taska. – UTUSAN










