Perak Sejahtera 2030 ditambah baik demi kesejahteraan rakyat - Utusan Malaysia

Perak Sejahtera 2030 ditambah baik demi kesejahteraan rakyat

SAARANI Mohamad (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah Program Rumah Perakku Prihatin Yayasan Perak kepada penerima pada Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pelan Perak Sejahtera 2030 akan ditambah baik bagi memastikan pertumbuhan pesat ekonomi memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat terutamanya melibatkan peluang pekerjaaan, perniagaan serta kesejahteraan bersama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi memastikan pelan itu kekal relevan menuju 2030, kerajaan negeri akan melaksanakan kajian separuh penggal meliputi penyelarasan indikator pemantauan, penambahbaikan agenda dan flagship serta pemutihan Dashboard Perak Sejahtera 2030.

“Ini mengambil kira keberkesanan pelaksanaan sedia ada, dapatan libat urus, Persidangan Penyelidikan Dasar Perak 2026, kerangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan trend ekonomi baharu.

“Tema ‘Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina’ menjadi asas kepada gerak kerja seterusnya supaya Perak Sejahtera 2030 tidak hanya kekal sebagai dokumen perancangan tetapi terus menjadi kerangka kerja yang hidup, dilaksana dan memberi makna kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan kajian separuh penggal itu akan dilaksanakan segera melibatkan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Perak dan akan dilaksanakan tahun ini.

Berhubung terdapat sebarang perubahan melibatkan pelan Perak Sejahtera 2030, Saarani berkata, ia bergantung kepada kajian separuh penggal tersebut.

“Bergantung kepada hasil kajian separuh penggal sebab kita dapati ada daerah yang sudah jauh ke depan, ada lagi yang masih perlahan, kita kena ubah suai.

“Perak makmur itu maknanya Perak menyediakan ruang rakyat untuk mendapat pendapatan yang tetap dan berkualiti serta sejahtera,” katanya.

Saarani menambah, memasuki tahun keempat pelaksanaan, Perak Sejahtera 2030 kini berada di landasan yang kukuh untuk menterjemahkan pertumbuhan ekonomi negeri kepada manfaat yang lebih dirasai rakyat.

“Pencapaian ekonomi dan pelaburan hanya benar-benar bermakna apabila ia diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

“Sebab itu, tumpuan Perak Sejahtera 2030 adalah untuk memastikan hasil pembangunan terus dirasai rakyat melalui inisiatif kos sara hidup, keterjaminan makanan, pendidikan, kesihatan, perumahan, TVET, keusahawanan serta peluang pekerjaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN