KANGAR: Pasukan Petugas Khas (Task Force) di bawah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen negeri ini ditubuhkan bagi melaksanakan pemantauan, pengesanan dan verifikasi rekod kehadiran etnik Rohingya di seluruh Perlis.
Pengarahnya, Mohamad A’sim Md. Ali berkata, menerusi semakan awal yang dijalankan, kebanyakan etnik Rohingya yang dikenal pasti berada dalam komuniti setempat memiliki kad pendaftaran Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Beliau berkata, pihaknya melihat isu berkenaan perlu ditangani secara profesional, berhemah dan berasaskan fakta serta data yang sahih.
“Sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 dan arahan terkini yang berkuat kuasa,” katanya di sini semalam.
Mohamad A’sim berkata, imigresen negeri sememangnya menerima maklumat dan aduan daripada orang awam dari semasa ke semasa berkaitan kehadiran warga asing termasuk etnik Rohingya di beberapa lokasi di negeri ini.
Katanya, aduan yang diterima lazimnya melibatkan isu keberadaan warga asing tanpa dokumen sah, aktiviti pekerjaan, penempatan dan aktiviti perniagaan yang dipercayai dijalankan tanpa kebenaran.
“Setiap aduan diterima akan disiasat dan diteliti secara menyeluruh sebelum tindakan penguatkuasaan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Katanya, berdasarkan rekod, sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Perlis telah melaksanakan 153 operasi penguatkuasaan.
Katanya, operasi tersebut melibatkan 34 aktiviti risikan dan pemantauan, 118 tangkapan warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen serta kutipan kompaun berjumlah RM369,570.
“Dalam perkembangan terkini, Imigresen Perlis turut menerima serahan 39 etnik Rohingya daripada jabatan dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Hasil semakan mendapati kesemua individu tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kini sedang menjalani proses siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN










