PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran untuk memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ekoran kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, PRN Negeri Sembilan pada 2023 menyaksikan PH sukar melepasi garis kemenangan kerana sokongan pengundi Melayu terhadap mereka di bawah 10 peratus.
Katanya, malah pada ketika itu mereka bergantung kepada undi penyokong BN untuk meraih sokongan dan akhirnya berjaya membentuk kerajaan.
“Kali ini susunan politik berubah sepenuhnya apabila BN dan PN bergabung, sedangkan pada PRN lalu PH dan BN berada dalam satu pakatan.
“Apa yang tinggal hanyalah melihat sejauh mana calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu mengganggu undi BN-PN, namun itu juga belum tentu mencukupi untuk memberi kemenangan kepada PH,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bahawa gabungan itu menyasarkan kemenangan sekitar 22 hingga 24 DUN untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
Hisommudin berkata, antara faktor lain yang menyukarkan PH ialah ketiadaan data pilihan raya terdahulu yang boleh dijadikan rujukan tepat memandangkan ketika itu PH dan BN bekerjasama melalui pengagihan kerusi.
“Data lama tidak lagi relevan kerana sebelum ini berlaku kerjasama antara PH dan BN. Rekod sebenar kekuatan BN di kerusi yang mereka tandingi tidak dapat diukur secara berasingan.
“Apabila BN dan PN bergabung kali ini, kombinasi itu menjadi satu kekuatan baharu yang pasti memberi tekanan hebat kepada PH,” katanya.
Hisommudin berkata, situasi di kubu tradisi PH yang melibatkan kawasan majoriti Cina dan kerusi bercampur juga tidak lagi menunjukkan kelebihan yang selesa kepada kerajaan negeri.
“Sepatutnya sebagai kerajaan negeri mereka berada dalam keadaan lebih selesa, tetapi apa yang berlaku sekarang menunjukkan mereka bergelut untuk memperoleh jumlah kerusi yang signifikan bagi mentadbir secara bersendirian.
“Malah, untuk menambah dua kerusi pun saya tidak nampak mudah, apatah lagi mengekalkan 17 kerusi yang dimiliki sekarang,” katanya.
Hisommudin turut menyifatkan keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di DUN Linggi sebagai langkah berani tetapi berisiko tinggi.
Katanya, Aminuddin meninggalkan DUN Sikamat yang dimenanginya selama tiga penggal untuk bertanding di kawasan yang selama ini dianggap kubu tradisi BN dengan harapan limpahan sokongan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dapat diterjemahkan kepada kemenangan di Linggi.
“Pada saya itu satu tindakan yang gamble. Beliau mempertaruhkan nasib sedangkan Sikamat merupakan kerusi yang selamat untuknya.
“Persepsi yang timbul ialah seolah-olah beliau berdepan masalah di kawasan asal sehingga memilih bertanding di tempat lain. Kini poster boy PH sendiri berdepan situasi getir di Linggi,” katanya.-UTUSAN










