SEREMBAN: Para pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu merenung diri sendiri dan bermuhasabah serta berhenti menyalahkan UMNO berikutan kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap mereka.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sudah tentu ada sebab yang jelas mengapa orang Melayu semakin kurang menyokong kerajaan PH.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, beliau baru mendapat angka daripada kajian yang dijalankan mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
“Kajian itu mendapati calon-calon PH tidak dapat pun 10 peratus undi orang Melayu.
“Jadi kamu mesti tanya diri sendiri mengapa ini berlaku daripada menyalahkan UMNO memainkan isu perkauman dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas program Sarapan Pagi dan Ramah Mesra Bersama KJ di Lenggeng di sini hari ini.
Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin dan Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Khairy berkata demikian bagi menjawab tuduhan para pemimpin PH bahawa beliau memainkan isu perkauman dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Khairy memberitahu, para pemimpin PH patut bertanya kepada diri mengapa mereka tidak popular dalam kalangan orang Melayu.
“Ia tidak ada kena mengena dengan kami di BN,” ujarnya.
Jelasnya, masalah populariti itu berlaku disebabkan persepsi dan sensitiviti orang Melayu tidak diuruskan dengan baik oleh PH.
“Tetapi mereka marahkan saya dengan menuduh saya memainkan isu perkauman,” ujarnya. – UTUSAN










