MUKADIMAH
PERTEMBUNGAN dua penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap merupakan antara persaingan yang menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana ia menyaksikan perlawanan muka baharu dan lama.
Penyandang kerusi berkenaan selama dua penggal, DATUK ZAHARI SARIP yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan bersaing dengan muka baharu yang menjadi taruhan Pakatan Harapan (PH), NORAZIAH MOHD. RAZIT.
Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, ARIF AIMAN ASROL dengan Zahari dan Noraziah mengenai pandangan mereka, strategi untuk memikat pengundi Buloh Kasap serta iltizam sekiranya diberi mandat dalam PRN Johor kali ini.
‘Mereka belum layak wakili rakyat’
UTUSAN: Tumpuan kempen setakat ini?
ZAHARI: Untuk tiga hari pertama ini, saya lebih tumpu kepada menemui jentera parti di setiap Pusat Daerah Mengundi kerana ia penting untuk memastikan jentera mengikut program seperti dirancang.
Saya tidak mahu jentera BN leka. Selepas ini, saya akan tumpukan kepada pengundi untuk meneruskan kempen sebelum hari mengundi 11 Julai ini.
Adakah sebagai penyandang jadi kelebihan?
Saya rasa ia memberi kelebihan kerana sepanjang tempoh dua penggal ini, kita terus memberikan komitmen untuk menyantuni dan menguruskan perkara yang dibangkitkan di peringkat lapangan.
Banyak perkara yang rakyat bangkitkan sebelum ini sebagai contoh isu lampu jalan, perparitan dan jalan rosak. Semuanya telah ambil perhatian, sebahagian sudah diselesaikan dan bakinya di dalam perancangan.
Jadi yakin dapat tambah majoriti undi?
Saya yakin kerana atas gerak kerja yang kami buat selama ini, kedua sejak kami menang pada 2022, kami terus menyantuni rakyat dan menjalankan kerja sehingga hari ini.
Ketiga faktor calon. Pada 2022, ada empat calon bertanding dan hampir semuanya adalah orang tempatan jadi itu mungkin memberi kesukaran bagi pengundi. Tetapi kali ini, kebetulan calon diketengahkan oleh PH adalah orang luar
Saya melihat calon PH ini ada sedikit kelemahan kerana tidak mempunyai asas, latar belakang tentang kawasan.
Apakah kelemahan dimaksudkan?
Saya beri contoh, ada beberapa kelemahan dilakukan. Nama kampung pun salah, mereka kata melawat ke Kampung Pulau Paya dan orang Buloh Kasap juga tanya kampung itu di mana?
Kemudian mereka pergi ke kawasan yang bukan di dalam kawasan mereka tandingi. Kelemahan ini menjadi satu alasan kepada pengundi Buloh Kasap bahawa sebenarnya mereka belum layak jadi wakil rakyat.
Apakah ketengahkan BN dalam kempen ?
Buloh Kasap tidak tertinggal di dalam arus pembangunan, cuma pembangunan dimaksudkan bukan seperti di Johor Bahru, menerima bangunan pencakar langit.
Kawasan ini adalah lokasi pertanian maka kami harap pembangunan ini dapat diutamakan. Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan kawasan zon keterjaminan makanan lebih kurang 200 ekar.

‘Saya bukan calon payung terjun PH’
UTUSAN: Komen dakwaan calon payung terjun PH?
NORAZIAH: Pada saya, saya adalah anak jati Johor. Saya boleh pergi ke mana sahaja di negeri ini. Tidak ada istilah ‘payung terjun’. Sebagai contoh, kalau kita dalam alam pekerjaan pun, kadang-kadang kita di hantar ke kawasan lain.
Setakat sekarang, tidak timbul sepanjang kempen mengenai istilah saya merupakan calon ‘payung terjun’. Ini merupakan satu perkara positif kepada saya kerana pengundi tahu bahawa saya merupakan Bangsa Johor.
Jadi tidak timbul protes di kalangan ahli PH di Segamat?
Alhamdulillah, tidak ada protes daripada ahli-ahli bahagian di Segamat atau cabang di sini, semuanya turun untuk membantu kempen saya. Saya tidak terima sebarang boikot daripada peringkat parti mahupun Parlimen.
Fokus kita semua adalah memenangi kerusi DUN Buloh Kasap, ini merupakan agenda kami semua.
Cabaran berdepan dengan calon BN 2 penggal.
Buat masa sekarang, saya masih lagi tidak nampak mereka. Ada masyarakat di tempat-tempat yang saya melawat tanya kepada saya, di mana calon lagi satu? Jadi saya ambil pendekatan untuk sentiasa turun ke bawah supaya mereka nampak saya.
Datuk Zahari mungkin boleh jadi penanda aras saya bahawa seseorang yang boleh bekerja tidak semestinya kategori lelaki sahaja, wanita juga boleh.
Saya adalah wanita, kita tidak pernah menghantar wanita di Buloh Kasap, jadi saya bersedia untuk berkhidmat dan menunjukkan cara bagaimana wanita bekerja di sini memandangkan Datuk Zahari sudah dua penggal.
Apakah pendekatan PH sepanjang kempen?
Pendekatan saya adalah berjumpa dengan penduduk-penduduk di Felda dan setakat ini Alhamdulilah, saya nampak reaksi mereka agak positif. Saya dapat masuk dan berjumpa mereka, saya tidak dihalang untuk masuk.
Ahli Parlimen Segamat jadi kelebihan PH?
Semestinya kita menggunakan bonus yang kita ada di DUN Buloh Kasap. Kita menggunakan sumber yang kita ada sebaik mungkin dengan bekerjasama dengan pihak Parlimen dan parti di peringkat cabang.
Ini bagi memastikan kempen saya sampai ke setiap kawasan yang dibentuk terlebih dahulu oleh pihak Parlimen, sebab itu penyusunan program saya berdasarkan kepada trek rekod oleh pihak Parlimen.










