Penunggang maut dilanggar pemandu warga asing ketika berhenti di lampu isyarat

Penunggang maut dilanggar pemandu warga asing ketika berhenti di lampu isyarat

DilanggDilanggar di lampu isyaratar di lampu isyarat
TANGKAP layar daripada rakaman video papan pemuka sebuah kereta yang tular memaparkan seorang penunggang motosikal dilanggar ketika berhenti dekat simpang empat lampu isyarat dekat Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, di Kuala Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki menemui ajal ketika pulang dari tempat kerja selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar oleh pemandu warga asing apabila berhenti pada lampu merah dekat persimpangan lampu isyarat Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa berusia 29 tahun hendak pulang ke rumah ke Puncak Alam dari tempat kerja.

“Ketika berada di simpang empat berkenaan, datang kereta jenis Nissan Almera yang dipandu oleh warga asing berusia 28 tahun terbabit melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital As Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam untuk proses bedah siasat, sementara ujian saringan urin terhadap pemandu pula didapati negatif terhadap sebarang pengambilan alkohol atau dadah.

Pemandu juga mempunyai lesen memandu sementara kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Seseorang yang memandu suatu kenderaan bermotor di jalan dengan melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang memandang kepada segala hal keadaan berbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian mana-mana orang adalah melakukan suatu kesalahan.

“Apabila disabitkan hendaklah dihukum penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000,” jelasnya.

Mohd. Hafiz juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azi Azyanti Mohd. Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222.

“Polis IPD Sungai Buloh menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan jalanraya semasa memandu dan menunggang kenderaan. patuhi lampu isyarat jalan raya dan had laju yang ditetapkan.

“Jangan sebarkan berita yang tidak sahih kerana akan mengganggu proses siasatan,” tegasnya.

Terdahulu, tular dalam media sosial rakaman daripada kamera papan pemuka sebuah kereta yang memaparkan seorang penunggang motosikal dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta ketika penunggangnya sedang berhenti di lampu merah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN