247 kg bunga ganja bernilai RM20 juta dirampas di KLIA

247 kg bunga ganja bernilai RM20 juta dirampas di KLIA

Bunga ganja KLIA
SHAZELI Kahar (tengah) menunjukkan bungkusan ketulan mampat bunga ganja yang dirampas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD KLIA dan Polis Bantuan MAHB, pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Aktiviti penyeludupan dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti tidak berkesudahan apabila sebanyak 247.8 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM19.82 juta dirampas dalam tempoh tujuh hari antara 11 hingga 17 Julai lalu.

Rampasan tersebut dibuat susulan penemuan 393 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat dadah terbabit dalam 14 beg yang dikesan berada dalam keadaan mencurigakan selepas melalui mesin pengimbas di Terminal 1 KLIA.

Malah, dalam tempoh sehari, pada 13 Julai lalu, sebanyak tiga cubaan penyeludupan 149.2 kg dadah bernilai RM11.94 juta melalui lapan bagasi dikesan serta empat individu warga asing terdiri daripada dua lelaki dan wanita berusia 24 hingga 48 tahun ditahan.

Pada keesokannya pula, seorang lagi lelaki warga asing berusia 25 tahun ditahan selepas mencuba kali kedua menyeludup dua bagasi mengandungi 60 bungkusan ketulan mampat bunga ganja seberat 31.2 kg bernilai RM2.5 juta.

Kesemua dadah tersebut dipercayai akan dibawa ke sebuah negara di Eropah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dengan bantuan daripada Polis Bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menahan tujuh individu dipercayai terlibat dalam enam sindiket pengedaran dadah dalam tempoh tersebut.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan merupakan keldai dadah terdiri daripada seorang wanita tempatan serta empat lelaki dan dua wanita asing.

”Salah seorang suspek didapati cuba menyeludup kali kedua. Mereka dipercayai menerima bayaran sehingga RM15,000 mengikut mata wang negara asal. Bagi suspek tempatan, dia dipercayai menerima upah RM6,000.

“Mereka sanggup menjadi keldai selepas dijanjikan upah yang lumayan dan terpengaruh dengan tawaran melancong dekat negara di Eropah. Namun, dua lelaki dan wanita warga asing didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bulan lalu, Utusan Malaysia melaporkan lebih setengah tan metrik bunga ganja dirampas dekat KLIA sejak Januari lalu melibatkan tangkapan 38 individu termasuk warga asing.

Kesemua dadah jenis organik tersebut difahamkan bernilai lebih RM50 juta dibawa masuk ke terminal udara utama negara sebagai lokasi transit dari negara-negara di Asia Tenggara sebelum diterbangkan ke Eropah.

Jelas Shazeli, kesemua suspek berasal dari negara di Eropah serta Asia termasuk Asia Tenggara dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial pada awal bulan ini dan sehari sebelum ditangkap.

“Bagaimanapun kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Polis turut membuat semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyiasat rekod perjalanan bagi suspek warga asing.

“Susulan itu kesemua suspek direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Katanya lagi, kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 826,000 penagih dadah dalam satu-satu masa berdasarkan penggunaan 0.3 gram bagi setiap individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN