PETALING JAYA: Kesibukan sebagai penyanyi menyebabkan Aina Abdul jarang berpeluang meluangkan masa untuk bercuti.
Oleh itu, Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 32, itu mengambil keputusan menjalankan penggambaran video muzik (MV) bagi lagu Sadis di Jepun sebagai cara mengimbangi tuntutan kerjaya dan menghiburkan diri.
“Kenapa Aina sanggup pergi jauh ke Jepun untuk penggambaran MV? Jawapannya ialah ‘work hard, play hard’. Sejak dahulu lagi, itulah cara saya menghiburkan diri, iaitu bekerja sambil bercuti.
“Kalau hendak merancang tarikh khas semata-mata untuk bercuti, selalunya memang tidak menjadi. Jadi, pilihan terbaik adalah menggabungkan kedua-duanya,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Pemenang kategori Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-37 itu berkata, pemilihan Jepun bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya kerana negara berkenaan menawarkan estetika yang bertepatan dengan mood dan penceritaan lagu Sadis.
Walaupun penggambaran di luar negara memerlukan perbelanjaan yang lebih besar, Aina bersyukur segala urusan berkaitan logistik, penginapan dan penerbangan berjalan lancar serta masih berada dalam anggaran kos yang munasabah.
“Alhamdulillah, Allah SWT mempermudahkan segala urusan. Daripada kos penerbangan, tempat penginapan sehinggalah pengangkutan, semuanya masih dalam anggaran yang munasabah selepas dikira semula.
“Selepas bertahun-tahun menguruskan kerjaya sendiri dan merancang bersama pasukan, perkara ini sudah menjadi kebiasaan. Saya juga bertuah kerana dikelilingi pasukan yang mudah bekerjasama dan tidak berkira dari segi masa mahupun wang ringgit,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Aina meluahkan rasa syukur apabila lagu Sadis menerima sambutan memberangsangkan meskipun baru dilancarkan.
“Alhamdulillah, jumlah penstriman di Spotify sahaja sudah melebihi 130,000. Saya harap peminat dapat menonton video muzik ini di saluran YouTube rasmi Aina Abdul dan terus memberikan sokongan,” katanya.
Lagu Sadis kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Aina Abdul dan didengarkan di semua platform penstriman digital. -UTUSAN










