Pengalaman jaga bapa sakit dorong berbakti kepada warga emas - Utusan Malaysia

Pengalaman jaga bapa sakit dorong berbakti kepada warga emas

HABIBAH Yoosefe menunjukkan alat pemeriksaan kesihatan asas yang digunakan semasa memberikan perkhidmatan penjagaan kepada warga emas secara profesional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Berbekalkan pengalaman bekerja di sebuah hospital swasta dan pernah menjaga bapa yang sakit, seorang wanita di Falim di sini menawarkan perkhidmatan penjagaan warga emas secara profesional.

Habibah Yoosefe, 53, berkata, menerusi perkhidmatan ditawarkan, beliau menguruskan keperluan seharian warga emas yang majoritinya menghidap demensia, serangan strok dan terlantar.

Ibu kepada dua anak itu berkata, walaupun pekerjaan itu menjanjikan pendapatan lumayan sekitar RM5,000 hingga RM7,000 sebulan, namun banyak perkara perlu diutamakan terutamanya melibatkan kerajinan dan disiplin tinggi.

“Majoriti pesakit di bawah jagaan saya ialah warga emas tidak mengira lelaki atau wanita berumur 70 hingga 90 tahun, paling muda setakat ini ialah wanita berumur 35 tahun yang diserang strok kerana darah tinggi.

“Selain itu, saya mengurus warga emas tidak mengira kaum Melayu, Cina dan India yang menghidap demensia. Ramai tidak tahan tetapi ada cara untuk menguruskannya iaitu perlu teliti dan sabar berkenaan waktu makan, mandi, menukar lampin dewasa, menggantikan pakaian dan urusan seharian mereka,” katanya.

Katanya, pendekatan lemah lembut dan psikologi membuatkan pesakit demensia lebih selesa dan berasa dihargai.

“Berhubung penjaga warga emas boleh menjana pendapatan yang tinggi, asas utama perlu rajin. Saya sendiri mempunyai secara purata tiga pelanggan setiap hari. Ada jadualnya yang ketat untuk menyantuni mereka sebaiknya.

“Komunikasi secara aktif dengan keluarga pelanggan agak penting supaya mereka (pesakit) kekal stabil. Alhamdulillah, ada pesakit yang dahulunya tidak boleh berjalan kerana patah kaki akhirnya boleh berjalan selepas mengikuti proses pemulihan secara berkala. Itu ialah kepuasan sebenar saya yang tidak ternilai berbanding ganjaran wang ringgit,” katanya.

Habibah berkata, kadar harga sejam bagi perkhidmatannya ialah sekitar RM25 hingga RM30. Namun, sebagai khidmat masyarakat kepada golongan benar-benar susah, servis itu ditawarkan secara percuma.

Sebelum ini, Habibah mengikuti Kursus Penjagaan Warga Emas TVET anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) dan Sunshine Qualicare pada 2024.

Kursus Penjagaan Warga Emas TVET anjuran Pasak merupakan inisiatif khas untuk melatih individu menjadi penjaga profesional yang berkemahiran dan berempati.

Ini membuka peluang kepada rakyat untuk menceburi bidang penjagaan warga emas yang semakin mendapat permintaan tinggi kerana

Perak dikategorikan sebagai negeri menua apabila populasi warga emas berumur 65 tahun ke atas mencecah lebih 14 peratus dan jumlah itu dijangka dicapai pada 2030.

Latihan itu selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 melalui flagship keempat iaitu Koridor TVET Malaysia dengan antara penerajunya ialah Pasak.

Flagship kelima pula meliputi Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Warga 1 Skil hasil cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ini ke arah kemajuan yang kondusif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN