Pendaftaran graduan luar negara tertakluk syarat tambahan badan profesional 

Pendaftaran graduan luar negara tertakluk syarat tambahan badan profesional 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Graduan yang mengikuti program profesional di luar negara perlu memenuhi syarat tambahan yang ditetapkan badan profesional berkaitan sebelum layak didaftarkan sebagai pengamal profesional di Malaysia.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim berkata, kuasa mendaftarkan graduan sebagai pengamal profesional sama ada daripada institusi dalam atau luar negara tertakluk sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang serta ketetapan badan profesional berkaitan.

Katanya, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bertanggungjawab melaksanakan jaminan kualiti terhadap program pengajian yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan termasuk program profesional yang dikawal selia badan profesional.

“Walau bagaimanapun, graduan yang mengikuti program pengajian di luar negara perlu menyemak dan memohon pendaftaran profesional kepada badan profesional yang berkaitan.

“Ini disebabkan terdapat keadaan tertentu di mana seseorang graduan itu perlu memenuhi syarat tambahan seperti latihan klinikal, tempoh latihan amali, peperiksaan profesional atau penilaian kompetensi sebelum mereka layak didaftarkan sebagai pengamal profesional dalam negara kita,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani berhubung langkah kementerian memastikan penyelarasan lebih berkesan antara Kementerian , agensi akreditasi dan badan profesional bagi mengelakkan percanggahan antara pengiktirafan akademik dengan keperluan pendaftaran profesional khususnya melibatkan pelajar yang mengikuti program profesional di luar negara.

Menurut Adam Adli, penyelarasan bidang kuasa antara MQA dan badan profesional di Malaysia adalah jelas bagi proses kawal selia jaminan kualiti program pengajian yang ditawarkan IPT tempatan termasuk program yang tertakluk kepada keperluan badan profesional.

Katanya, penilaian akreditasi bagi program profesional tempatan dilaksanakan secara bersama antara MQA dan badan profesional menerusi penubuhan jawatankuasa teknikal bersama.

“Melalui penilaian bersama inilah sekiranya program profesional tempatan telah mendapat akreditasi, ia telah dianggap mencapai standard yang diiktiraf oleh badan profesional.

“Oleh itu, graduan daripada program yang berkaitan boleh berdaftar terus di bawah badan profesional yang berkaitan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN