KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari pembangkang hari ini mempersoalkan pelantikan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan segera berhubung justifikasi pelantikan tersebut memandangkan individu berkenaan masih dikaitkan dengan beberapa isu yang sebelum ini pernah mencetuskan perhatian umum.
“Kerajaan patut jawab. Saya hendak tanya kerajaan, apa justifikasi melantik Tan Sri Azam sebagai Ahli Jawatankuasa dalam Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).
“Dia sendiri (Azam) mempunyai masalah yang sedang disiasat tentang beberapa isu,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Azam dilantik sebagai penasihat NFCC, sebuah badan yang berperanan menyelaras usaha membanteras jenayah kewangan dan rasuah di peringkat nasional.
Pelantikan itu bagaimanapun menarik perhatian pelbagai pihak susulan latar belakang serta beberapa kontroversi yang pernah dikaitkan dengan beliau, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai keperluan dan kesesuaian pelantikan tersebut dalam struktur NFCC.
Kontroversi membabitkan Azam sebelum ini timbul susulan laporan Bloomberg yang mendakwa beliau memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, yang kemudiannya mencetuskan perhatian umum serta perbincangan meluas.
Susulan dakwaan itu, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan berhubung isu pemilikan saham berkenaan. – UTUSAN










