Pemandu teksi mampu raih RM7,000 sebulan

Pemandu teksi mampu raih RM7,000 sebulan

ANWAR Ibrahim menyempurnakan pelepasan pada Majlis Peluncuran Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi mampu meraih pendapatan ber­sih antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan menerusi Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional yang memperkenalkan identiti baharu industri tersebut.

Menerusi program itu, pemandu teksi kini boleh beralih kepada Proton S70 dengan pakej pembiayaan lebih mudah bagi mengurangkan kos memiliki kenderaan dan permit di atas nama sendiri serta tidak perlu lagi membayar kos pajakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu mampu dicapai menerusi kerjasama kerajaan dan industri dalam mengurangkan kos pembaikan, penyelenggaraan, per­khidmatan dan pinjaman kenderaan yang ditanggung pemandu selama ini.

Katanya, kerajaan juga membuat satu keputusan dasar penting iaitu menetapkan permit teksi diberikan atas nama pemandu secara kekal dan tidak boleh dipindah milik bagi menjaga dan menjamin kepentingan keluarga golongan tersebut.

“Ada satu perkara dibangkitkan kebelakangan ini iaitu mengenai pendapatan pemandu teksi sebulan. Ada yang pada musim tertentu pendapatan mereka turun sehingga RM2,500 atau RM3,000. Secara purata, sekitar RM4,000 namun untuk mencecah RM5,000 sebulan agak sukar.

“Bagaimanapun, saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan dan bersetuju satu perancangan baharu perlu dilaksanakan termasuk bagi mengurangkan kos pembaikan, penyelenggaraan, perkhidmatan serta pembiayaan kenderaan.

“Dengan pendekatan itu, kami menjangkakan pendapatan bersih pemandu teksi mampu meningkat kepada antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan, sekali gus membolehkan mereka menikmati taraf hidup yang lebih selesa,” katanya dalam Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Kementerian Pengangkutan bagi pelaksanaan Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama kepada pemandu teksi.

Anwar berkata, tambahan dana itu khusus untuk membantu pemandu teksi mendapatkan kenderaan baharu serta mengurangkan beban kos operasi mereka.

Katanya, bantuan itu meliputi pengurangan harga kenderaan, kemudahan servis, pemeriksaan kenderaan serta sokongan pembiayaan melalui skim yang diatur bersama Kementerian Pengangkutan dan Proton.

“Dana kerajaan yang saya umumkan dalam belanjawan tahun lalu adalah RM10 juta. Tapi saya tengok sambutannya baik, kerana itu saya luluskan segera tambahan RM10 juta lagi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam ucapannya memohon peruntukan tambahan RM10 juta bagi pelaksanaan geran padanan terbabit berikutan dana yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 sudah habis digunakan dalam tempoh tiga bulan.

Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama adalah insentif kerajaan membabitkan pemberian geran sehingga RM4,000 untuk menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan berusia lebih 20 tahun.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pemandu teksi yang memiliki Proton S70 melalui program terbabit perlu diberi program latihan supaya mereka peka dengan teknologi baharu termasuk penggunaan aplikasi terkini.

Katanya, pegawai berkaitan termasuk daripada Kementerian Pengangkutan perlu turun ke stesen teksi untuk memudahkan urusan dan menjimatkan masa pemandu bagi mendapatkan kursus supaya golongan berkenaan tidak ketinggalan bersaing dengan pemandu alternatif lain.

“Ia tidak mudah, kerana teknologi dan sistem berubah, jika dulu, paling tidak ada prebet sapu. Sekarang banyak alternatif lain dan kita tidak boleh halang, jadi harus beri galakan yang sama kepada pemandu teksi.

“Tadi saya juga bersetuju tidak perlu semuanya pergi ke pusat. Mereka boleh turun ke tempat diperlukan untuk baik pulih dan penyelenggaran kecil supaya kos dapat dikurangkan serta tidak membebankan,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN