KUBANG PASU: Kementerian Dalam Negeri sedang melaksanakan proses pengesanan dan tapisan keselamatan terhadap pelarian Rohingya yang berada di negara ini sebelum memenuhi komitmen menghantar pulang 5,000 rakyat Myanmar itu ke negara asal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, komitmen tersebut susulan persetujuan kerajaan Myanmar untuk menerima semula rakyatnya yang berada di luar negara sebagai pelarian.
Menurut beliau, perkara itu merupakan antara hasil usaha yang digerakkan Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun lalu, khususnya dalam membincangkan isu pelarian melibatkan Myanmar.
“Kerajaan Myanmar telah menyatakan persetujuan dan komitmen untuk menerima semula rakyatnya yang berada di luar negara serta sebahagian pelarian yang kini ditempatkan di kem Cox’s Bazar, Bangladesh.
“Bagi Malaysia, komitmen awal yang dipersetujui ialah menghantar pulang 5,000 orang. Namun, proses mengenal pasti individu yang layak perlu dilaksanakan terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat, Kedah Sejahtera di sini, hari ini.
Program berkenaan dirasmikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seramai 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan dihantar pulang ke Myanmar hasil rundingan dan hubungan baik antara kedua-dua negara.
Tambah Saifuddin, KDN dipertanggungjawab sebagai agensi peneraju bagi melaksanakan proses Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 23.
Katanya, proses itu melibatkan usaha mengesan, mengenal pasti dan menapis individu terlibat, termasuk menjalani semakan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Pada akhir proses itu, setiap individu akan diberikan keputusan berhubung status pelarian mereka dan mereka yang memenuhi syarat akan diberikan dokumen pengesahan.
“Selepas proses ini selesai, barulah kuota 5,000 orang yang dipersetujui akan dipenuhi sebelum tindakan susulan diselaraskan bersama kerajaan Myanmar melalui Wisma Putra,” katanya.
Menurut beliau, proses berkenaan telah pun bermula dan bukan lagi di peringkat perancangan dengan sasaran awal adalah penghuni depot imigresen di seluruh negara yang kini menempatkan kira-kira 22,000 individu.
“Daripada jumlah itu, sekitar 4,000 adalah warga Myanmar dan mereka akan melalui proses tapisan berkenaan. Bagi memudahkan pelaksanaan DPP, mereka akan ditempatkan di sebuah depot khusus dan tidak lagi ditempatkan secara berasingan di 19 depot imigresen sedia ada,” katanya. – UTUSAN










