KUALA LANGAT: Pelajar berusia 15 tahun yang menikam rakannya dalam kejadian menggemparkan dekat sebuah sekolah menengah di Banting, di sini, direman selama empat hari sehingga Jumaat.
Perintah reman itu dikeluarkan terhadapnya oleh Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Majistret Telok Datuk bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu selepas permohonan dikemukakan oleh polis.
Sebelum itu, remaja terbabit dilihat tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.08 pagi dengan menaiki trak polis dan meninggalkan mahkamah pada pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.
Sementara itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman (YBGK) S. Vijeswari Devi ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan bahawa anak guamnya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU)
“Anak guam saya adalah autistik. Itu sahaja saya boleh katakan,” jelasnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah yang cedera ditikam semalam, dikatakan menerima sekurang-kurangnya 14 tikaman dan salah satunya menembusi paru-paru.
Mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik ditikam pada bahagian belakang badan dan muka sehingga seragam sekolahnya berlumuran darah.
Semalam, situasi di sekolah menengah itu gempar apabila berlaku kejadian tikaman membabitkan seorang pelajar perempuan oleh rakannya. – UTUSAN










