KUALA LANGAT: Pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah di Bandar Banting, di sini, didakwa menerima sekurang-kurangnya 14 tikaman dan salah satunya menusuk sehingga menembusi paru-parunya.
Kesan tikaman juga dikatakan terdapat di bahagian belakang badan sehingga seragam sekolah yang dipakai pelajar terbabit berlumuran darah.
Bapa mangsa Mohd. Firuz Ibrahim, 43, berkata, kejadian tersebut menimpa anak kedua daripada tiga beradik yang berusia 15 tahun itu dan menerima panggilan daripada gurunya kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum dia bergegas ke Hospital Banting.
“Bila saya sampai, memang anak teruk. Saya difahamkan 14 hingga 16 tikaman di bahagian belakang dan muka. Paru-paru kiri kena dan sekarang petugas perubatan memasukkan tiub bagi mengeluarkan darah (dari dalam paru-paru).
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana anak stabil dan berada dalam keadaan sedar serta boleh bercakap,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Banting, di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, situasi di sekolah menengah tersebut gempar apabila berlaku kejadian tikam seorang pelajar perempuan oleh rakannya di sini, hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan, suspek yang dipercayai menikam seorang pelajar sekolah menengah di Banting sekitar pukul 9.30 hingga 10 pagi tadi, sudah pun ditahan.
Dalam pada itu, Mohd. Firuz, memberitahu anaknya dan suspek mengenali satu sama lain dan pernah berada dalam kelas yang sama semasa di tingkatan dua.
“Saya diberitahu kawannya itu sebaya dan sedang ‘dicutikan’ atas rawatan peribadinya. Cuma, saya tidak pasti kalau suspek berdendam dengan anak saya.
“Tetapi, saya yakin anak bukanlah sasaran utama, sebaliknya ketika itu dia berada berdekatan dengan suspek, itu yang kena. Malah, anak saya pun tak pernah mengadu pernah diganggu rakannya itu sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar lain yang berada di tempat kejadian memberitahu, tragedi tersebut berlaku ketika waktu rehat dan mangsa sedang duduk selepas baru membeli roti.
“Budak itu (suspek) dikatakan masuk kawasan kantin melalui laluan dari arah surau. Kemudian tiba-tiba keadaan jadi gempar apabila ramai pelajar lain bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Tinjauan pemberita di sekolah berkenaan juga mendapat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tiba kira-kira pukul 1 tengah hari dan berada di sana hampir setengah jam. – UTUSAN










