PUTRAJAYA: Pasukan khas daripada Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membantu memperkukuh prosedur serta sistem kawalan dalaman berkaitan pengurusan insentif di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian usaha memberikan khidmat nasihat serta membantu Perkeso memperkemas aspek tatakelola khususnya berkaitan prosedur pemulangan wang dan pencegahan ketirisan.
“Dapatan kami mendapati tiada semakan dibuat terhadap status pekerja sebelum pembayaran dilaksanakan, termasuk mendapatkan pengesahan daripada syarikat sama ada ia terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta,”katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abd. Halim berkata, Perkeso turut mengemukakan permohonan rasmi bagi penempatan seorang Pegawai Integriti SPRM di agensi itu susulan pendedahan kes berkenaan.
Beliau berkata, pegawai berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat sebagai langkah memperkukuh pemantauan integriti serta tatakelola.
“SPRM sentiasa terbuka untuk memberikan bimbingan dan khidmat nasihat kepada mana-mana agensi bagi memastikan pengurusan dana awam dilaksanakan dengan lebih telus serta berakauntabiliti,” jelasnya. – UTUSAN










