Tiada asas Nik Nazmi terima rasuah kes pindah gajah ke Jepun

Tiada asas Nik Nazmi terima rasuah kes pindah gajah ke Jepun

ABDUL HALIM AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada sebarang asas yang menyokong dakwaan bahawa bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menerima rasuah sebanyak RM53 juta berhubung pemindahan tiga ekor gajah Asia ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, hasil siasatan dijalankan tidak menemukan sebarang aliran wang atau transaksi mencurigakan yang melibatkan bekas menteri itu mahupun syarikat berkaitan.

Menurut beliau, semakan terhadap Laporan Transaksi Tunai (CTR) dan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) juga mendapati dakwaan tersebut tidak berasas setakat ini.

“Bagaimanapun, siasatan terhadap empat suspek yang dikaitkan dengan kes ini masih diteruskan, termasuk analisis kewangan dan perbankan yang sedang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Abd Halim berkata, beliau telah mengarahkan pegawai penyiasat supaya melengkapkan siasatan kes itu dalam tempoh sebulan.

Katanya, empat suspek telah dikenal pasti dalam siasatan berkenaan membabitkan seorang pesara penjawat awam, seorang penjawat awam yang masih berkhidmat serta dua pemilik syarikat.

“Setakat ini, seramai 19 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Menurut beliau, antara perkara utama yang sedang diteliti ialah pihak yang menanggung kos pemindahan, penempatan sementara gajah-gajah itu di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, status pensijilan veterinar, spesifikasi kandang gajah di Osaka serta tempoh perjanjian selama 25 tahun yang menjadi perhatian pelbagai pihak.

Beliau berkata, dapatan awal menunjukkan tempoh 25 tahun itu adalah munasabah dengan mengambil kira tempoh bunting gajah kira-kira dua tahun serta anggaran maksimum enam kelahiran.

“Kos pemindahan sebanyak RM6.3 juta (AS$1.048 juta) ditanggung sepenuhnya oleh Zoo Osaka dan bukannya kerajaan Malaysia.

“Gajah-gajah tersebut ditempatkan sementara di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah bagi menjalani latihan penggunaan peti sebelum diterbangkan ke Jepun,” jelasnya.

Menurut Abd Halim, siasatan dimulakan susulan dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam proses pemindahan tiga ekor gajah berkenaan.

Pada 18 Jun lalu, pertubuhan hak hidupan liar, Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) menggesa SPRM menyiasat pemindahan tiga gajah tersebut.

Pertubuhan itu turut mendakwa beberapa bayaran berkaitan urusan pemindahan tidak disalurkan kepada kerajaan serta mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN