PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kesalahan rasuah membabitkan seorang calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, sebanyak tiga maklumat berkaitan rasuah diterima termasuk satu diperoleh daripada Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang hadir di Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas serta tidak menimbulkan persepsi bahawa badan berkenaan memihak kepada mana-mana pihak.
Jelasnya, SPRM akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu sekiranya terdapat unsur rasuah sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung, tanpa mengira parti, calon, pengundi mahupun penyokong.
“Saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana ini musim pilihan raya. Kita tidak mahu menjejaskan mana-mana pihak. Kita mahu kekal bebas supaya tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.
“Kalau ada kesalahan rasuah dalam pilihan raya yang sedang berlangsung, tidak kira apa parti, calon, pengundi atau penyokong maka ia tetap merupakan kesalahan rasuah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Menurutnya, semua maklumat yang diterima kini sedang dinilai dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Abd Halim menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan rasuah pilihan raya tanpa mengira kedudukan, parti politik atau latar belakang.
Dalam pada itu, Abd Halim mengingatkan semua calon, parti politik, penyokong serta pengundi supaya sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pengundian.
“Kita mahu rakyat keluar mengundi dengan yakin bahawa suara mereka tidak boleh dibeli, dipengaruhi atau diperdagangkan.
“SPRM akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan proses demokrasi melalui amalan rasuah.
“Pilihan raya yang bersih bukan sahaja menjamin integriti sistem demokrasi, malah memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, sepanjang tempoh itu, SPRM Johor turut mengaktifkan lima Bilik Gerakan di Johor Bahru, Segamat, Kluang, Batu Pahat dan Mersing bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang tempoh pilihan raya. – UTUSAN










