SPRM panggil individu berkait pemilikan, pemindahan aset mewah AS$13 juta di luar negara

SPRM panggil individu berkait pemilikan, pemindahan aset mewah AS$13 juta di luar negara

ABD. Halim Aman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa individu berkaitan pemilikan dan pemindahan aset hartanah mewah di luar negara yang dianggarkan bernilai RM59 juta (AS$13 juta) dipercayai hasil aktiviti haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan yang dilakukan Bahagian Operasi Khas (BOK) pada 15 Jun lalu meliputi semua aspek termasuk unsur rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan aspek pemulihan aset.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, mana-mana individu yang mempunyai kaitan dan relevan dengan siasatan akan dipanggil untuk dirakam.

Katanya, siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Sesiapa sahaja akan dipanggil sekiranya mempunyai kaitan dan relevan dalam proses siasatan. Kami akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, daripada atas hingga ke bawah, merangkumi semua aspek yang berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan berhubung perkara itu baru sahaja dimulakan dan terdapat beberapa aspek yang masih memerlukan penelitian serta semakan lanjut.

“Dalam melaksanakan siasatan tersebut, pihak SPRM akan bekerjasama dengan rakan sejawat kami di dalam dan juga di luar negara.

“Bagi kerjasama dengan pihak luar negara, rujukan utama kami adalah rakan strategik seperti FBI di Amerika Syarikat. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memperoleh maklumat yang diperlukan berkaitan dengan hartanah berkenaan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau menjelaskan bahawa SPRM dan PDRM mempunyai bidang kuasa serta skop siasatan yang berbeza, namun tidak menolak kerjasama sekiranya diperlukan bagi memudahkan sesuatu siasatan.

Beliau berkata, SPRM ketika ini menjalankan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) serta undang-undang berkaitan.

“Tumpuan SPRM adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan atau kesalahan berkaitan pengubahan wang haram dalam sesuatu perkara yang disiasat.

“Setakat hari ini, kami menjalankan tugas secara bebas mengikut bidang kuasa masing-masing. Kami masih belum duduk bersama untuk berbincang.

“Namun jika ada keperluan, sudah tentu kita akan berbuat demikian bagi memudahkan apa jua perkara yang perlu dilakukan,” katanya

Pada 14 Jun lalu, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan pembelian, pembiayaan atau pemilikan sebuah hartanah mewah bernilai AS$13 juta.

Rosmah berkata, beliau juga tidak pernah membiayai, memudahkan atau mengatur sebarang urus niaga hartanah bagi pihak menantunya atau mana-mana individu serta entiti lain.

Dakwaan berkenaan tersebar menerusi beberapa siri video di platform media sosial termasuk X dan Facebook. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN