Pasar Borong Selangor terbakar: Bomba pastikan tiada mangsa bawah runtuhan

Pasar Borong Selangor terbakar: Bomba pastikan tiada mangsa bawah runtuhan

kerja-kerja `overhaul’ di lokasi kebakaran yang memusnahkan beberapa lot kedai di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih giat menjalankan kerja-kerja `overhaul’ di lokasi kebakaran yang memusnahkan beberapa lot kedai di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.20 pagi tadi.

Menurut beliau, pasukan bomba kini meneruskan kerja-kerja `overhaul’ bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan semula api.

“JBPM turut menunggu ketibaan sebuah jentera pengorek (eskavator) bagi membantu membongkar sisa runtuhan untuk memastikan benar-benar tiada mangsa yang terperangkap di bawah timbunan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pegawai forensik juga telah tiba di lokasi bagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

“Operasi masih diteruskan dan perkembangan lanjutakan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Terdahulu, kebakaran melibatkan premis berkeluasan kira-kira 400 meter persegi itu memusnahkan 90 peratus bangunan, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Seramai 68 anggota JBPM bersama 16 jentera pelbagai jenis digerakkan dalam operasi itu dengan bantuan anggota daripada 13 balai bomba termasuk BBP Bukit Jalil, Presint 7, Bandar Tun Hussein Onn, Petaling Jaya, Bangi, KLIA, Keramat, Hang Tuah, Hartamas, Cyberjaya, Bukit Jelutong, Subang Jaya dan Damansara.

Operasi turut dibantu 67 anggota daripada 11 Pasukan Bomba Sukarela selain anggota Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Subang Jaya serta pasukan keselamatan Pasar Borong Selangor. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN