Monyet ganggu peniaga, pengunjung R&R Sungai Perak - Utusan Malaysia

Monyet ganggu peniaga, pengunjung R&R Sungai Perak

KEADAAN R&R Sungai Perak arah utara yang lengang ekoran penutupan sementara bagi memberi laluan operasi khas menangani gangguan monyet liar oleh Perhilitan Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sikap segelintir pengguna lebuh raya memberi makanan kepada monyet liar dipercayai menjadi antara faktor haiwan itu semakin berani sehingga mengganggu peniaga dan pengunjung di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara.

Kehadiran monyet secara berkumpulan di kawasan berkenaan bukan lagi perkara baharu apabila haiwan itu telah menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat mencari makanan sejak bertahun-tahun lalu.

Tinjauan di lokasi mendapati, pelbagai langkah diambil peniaga bagi menghalang kehadiran haiwan itu termasuk meletakkan patung ular di tiang laluan, dinding dan sekitar premis jualan sebagai usaha menakut-nakutkan monyet.

Pekerja stesen minyak, Muhd. Asyraf Mohd. Idris, 23, berkata, kumpulan monyet itu sering menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan sehingga menyebabkan kawasan sekitar menjadi kotor.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada sikap segelintir pengunjung yang memberi makanan kepada monyet, menyebabkan haiwan tersebut terbiasa mendapatkan makanan daripada manusia.

“Puncanya daripada orang ramai juga sebab ada yang beri makan, beri rotilah. Jadi, bila tak dapat makanan, monyet ini mula selongkar tong sampah.

“Bila dah terlalu banyak, monyet ini tidak takut dengan kehadiran manusia. Bila kita gertak pun, mereka akan kejar kita balik,” katanya ketika ditemui di R&R Sungai Perak arah utara, di sini semalam.

Sementara itu, seorang peniaga buah, Salina Saad, 57, berkata, kehadiran monyet di kawasan berkenaan telah berlaku sekian lama dengan kumpulan haiwan itu boleh mencecah lebih 20 hingga 30 ekor pada satu-satu masa.

Katanya, monyet sering meragut makanan yang dibawa pengunjung dan memasuki kawasan gerai untuk mencari buah-buahan terutama buah mangga.

“Kehadiran monyet di sini memang sudah lama. Sekali datang memang ramai, dianggarkan antara 20 hingga 30 ekor.

“Kalau kita leka sekejap sahaja, memang dia akan datang ambil makanan. Monyet itu pun sudah tidak takut dengan manusia, malah kalau kita cuba halau, dia akan gertak kita semula,” katanya.

Tambahnya, pelbagai usaha dilakukan bagi menghalau haiwan itu termasuk meletakkan replika ular, namun ia hanya berkesan pada peringkat awal sebelum monyet berkenaan menyedari ia bukan ancaman sebenar.

Terdahulu, PLUS Malaysia Berhad dalam satu notis memaklumkan R&R Sungai Perak arah utara akan ditutup sementara pada Selasa bagi memberi laluan kepada operasi khas menangani gangguan monyet liar.

Menurut PLUS, operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungai Siput bermula pukul 2.30 hingga 5 petang.

Penutupan itu turut melibatkan stesen minyak bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dan petugas, selain melancarkan perjalanan operasi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN