Minyak mentah terus merosot dipacu jangkaan lebihan bekalan

Minyak mentah terus merosot dipacu jangkaan lebihan bekalan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah global terus mencatatkan penurunan ketika ini susulan perubahan sentimen pasaran daripada kebimbangan gangguan bekalan kepada jangkaan lebihan bekalan di peringkat antarabangsa.

Pada pukul 5 petang semalam, minyak mentah Brent didagangkan pada AS$71.81 (RM292.98) setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pada AS$68.47 (RM279.35) setong.

Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, penurunan itu didorong oleh keredaan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang sebelum ini menjejaskan aliran perdagangan minyak, termasuk pemulihan semula eksport melalui Selat Hormuz.

“Apabila risiko geopolitik berkurangan, premium harga yang sebelum ini menyokong kenaikan minyak turut susut. Pada masa sama, pasaran kini lebih menumpukan kepada asas bekalan dan permintaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk meningkatkan pengeluaran bermula Ogos turut memberi isyarat jelas bahawa bekalan global dijangka bertambah dalam tempoh terdekat.

Beliau menjangkakan harga Brent kekal dalam lingkungan sederhana sekitar AS$68 (RM277.43) hingga AS$75 (RM305.99) setong dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang, dengan paras sekitar AS$70 (RM285.58) dianggap sebagai zon keseimbangan baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pasaran minyak kekal sensitif terhadap perkembangan geopolitik dan sebarang peningkatan ketegangan khususnya di Asia Barat boleh mencetuskan lonjakan harga dengan cepat.

“Jangkaan ini disokong beberapa faktor utama. Pertama, bekalan minyak dijangka terus meningkat susulan penambahan pengeluaran oleh OPEC+.

“Kedua, laluan perdagangan utama yang kembali beroperasi dijangka mengurangkan risiko kekurangan bekalan.

“Ketiga, permintaan global pula dijangka kekal sederhana tanpa lonjakan besar daripada ekonomi utama, selain peningkatan inventori minyak dunia yang turut memberi kusyen kepada pasaran sekiranya berlaku gangguan kecil,” jelasnya.

Beliau berkata, bagaimanapun unjuran tersebut masih terdedah kepada beberapa risiko yang boleh mengubah trajektori harga.

“Antaranya kemungkinan konflik geopolitik kembali memuncak, bencana alam, keputusan baharu OPEC+ untuk mengurangkan pengeluaran serta pemulihan ekonomi global yang lebih kukuh daripada jangkaan yang boleh meningkatkan permintaan tenaga dengan ketara,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penyusutan harga minyak mentah ketika ini mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap prospek pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan berbanding isu kekurangan bekalan.

“Walaupun ketegangan geopolitik di Asia Barat masih wujud, pasaran melihat bekalan minyak dunia kekal mencukupi menyebabkan premium risiko yang sebelum ini menyokong harga minyak semakin berkurangan.

“Bagi Malaysia, perkembangan ini mempunyai dua kesan yang berbeza. Sebagai negara pengeksport minyak dan gas, hasil kerajaan daripada sektor petroleum mungkin terjejas jika harga kekal rendah.

“Namun, sebagai negara yang juga mengimport petroleum bertapis dan pelbagai input industri, harga minyak yang lebih rendah dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan, kos pengeluaran dan tekanan inflasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN