KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) menjadikan pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai syarat utama dalam setiap perolehan aset pertahanan.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, langkah itu bertujuan memastikan aset berkenaan dapat diselenggara dan dioperasikan secara mampan untuk jangka panjang.
Katanya, pendekatan itu diambil susulan pengalaman perolehan aset sebelum ini selain bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.
“Dalam setiap pembelian aset pertahanan, kita mesti mempunyai elemen Industrial Collaboration Programme (ICP).
“Melaluinya, berlaku pemindahan pengetahuan, latihan kepada anggota dan pemindahan teknologi supaya aset yang diperoleh hari ini dapat terus digunakan dalam jangka panjang,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai langkah Mindef memastikan setiap perolehan baharu mengambil kira aspek penyelenggaraan, alat ganti, latihan, pemindahan teknologi, penglibatan industri tempatan serta jangka hayat aset.
Mengulas lanjut, Adly berkata, Malaysia sebelum ini lebih menumpukan kepada aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan kini berhasrat meningkatkan keupayaan industri pertahanan tempatan supaya mampu membangunkan aset pertahanan sendiri.
Menurutnya, usaha itu penting memandangkan keupayaan membangunkan teknologi dan menghasilkan aset pertahanan tempatan berkait rapat dengan kedaulatan serta keselamatan negara. – UTUSAN










