MCMC siasat dakwaan kebocoran data melibatkan Khairul Aming

MCMC siasat dakwaan kebocoran data melibatkan Khairul Aming

MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Shangri-La Kuala Lumpur. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyiasat dakwaan kebocoran data peribadi melibatkan pempengaruh, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengarahkan MCMC mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan terdapat pihak yang memperoleh akses tanpa kebenaran terhadap maklumat peribadi serta sistem milik sebuah syarikat telekomunikasi.

Katanya, beliau telah bertemu dengan wakil syarikat telekomunikasi berkenaan yang memaklumkan sedang menghubungi Khairul Aming bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden tersebut.

“Perkara yang agak merisaukan kerana aduan yang saya baca dalam Threads daripada Saudara Khairul Aming memberi satu bayangan individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi. Kedua, individu itu juga ada akses kepada inventori ataupun sistem yang dimiliki oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

“Saya telah sebentar tadi bertemu dengan pihak syarikat telekomunikasi tersebut. Wakil mereka memaklumkan sedang menghubungi Saudara Khairul Aming, namun saya akan minta MCMC mendapatkan laporan penuh,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Pengawalseliaan Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Khairul Aming meluahkan rasa kurang senang selepas mendakwa maklumat berkaitan bil telefon peribadinya didedahkan kepada umum oleh individu tidak dikenali.

Menerusi perkongsian di aplikasi Threads semalam, beliau meminta penjelasan daripada sebuah syarikat telekomunikasi mengenai bagaimana maklumat akaun telefonnya boleh tersebar.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, mana-mana individu yang mengalami insiden sama diminta membuat laporan kepada MCMC menerusi portal aduan suruhanjaya itu bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Katanya, laporan tersebut penting bagi membolehkan MCMC mempunyai rekod, maklumat serta bukti untuk mengambil tindakan susulan terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang melihat insiden yang serupa dengan ini, sila buat laporan kepada MCMC supaya kita mempunyai rekod, maklumat dan bukti untuk tindakan susulan.

“Termasuk kepada sesiapa yang dengan sengaja menyebarkan Personally Identifiable Information (PII), ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN