PASIR MAS: Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 35 peratus kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu (TBB) menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat Jun lalu, negara sudah hampir mencecah 32 peratus TTB.
Katanya, ia sekali gus mencerminkan kemajuan berterusan agenda peralihan tenaga negara ke arah sasaran 70 peratus menjelang 2050.
“Perkembangan itu membuktikan agenda peralihan tenaga negara berada di landasan yang tepat selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Peralihan tenaga bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga negara, memperkukuh daya tahan ekonomi.
Selain itu, ia mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memenuhi komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim global,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar (LSS) 5 di Kampung Serongga, di sini hari ini.
Fadillah berkata, kerajaan terus memastikan peralihan tenaga dilaksanakan secara seimbang berasaskan prinsip keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian.
Katanya, usaha memperkukuh akses kepada bekalan elektrik hijau yang berdaya saing bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi sedang giat dilaksanakan.
Beliau berkata, Projek Solar Berskala Besar di Pasir Mas menjadi bukti keyakinan pelabur terhadap dasar tenaga negara serta kejayaan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta dalam memacu ekonomi rendah karbon.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka menyumbang kepada bekalan elektrik negara selain mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat, membangunkan industri sokongan dan memberi limpahan manfaat kepada komuniti di Pasir Mas serta Kelantan.
“Kelantan berpotensi meningkatkan lagi kapasiti TBB khususnya tenaga solar berikutan keluasan tanah yang sesuai, sokongan kerajaan negeri dan penyertaan aktif sektor swasta.
“Projek seperti ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan hijau yang mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pembangunan tenaga boleh baharu di rantau ini,” ujarnya.
Sementara itu, Fadillah menggalakkan orang ramai memanfaatkan program Solar ATAP yang disediakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan memasang panel solar fotovoltaik (PV) di bumbung rumah, masjid, rumah ibadat dan premis komersial. – UTUSAN










