Malaysia pilihan sindiket dadah antarabangsa - Utusan Malaysia

Malaysia pilihan sindiket dadah antarabangsa

BARANGAN rampasan dadah di Kompleks Kastam Kargo, LTA Kuala Lumpur, tahun lalu - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menjadi pilihan sindiket dadah antarabangsa kerana kedudukan strategik negara dengan pelbagai kemudahan bertaraf dunia, memudahkan mereka menjalankan kegiatan penyeludupan.

Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara menjadikan Malaysia destinasi transit sindiket untuk mengedar dadah ke destinasi lain di Asia dan Eropah.

Beliau berkata, Malaysia jadi pilihan kerana negara mempunyai sistem perdagangan aktif, kemudahan pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa serta pergerakan kargo yang sangat tinggi.

“Malaysia menjadi laluan penting yang menghubungkan Asia Barat, Asia Tenggara, Australia, Eropah dan Timur Jauh.

“Berjuta-juta kontena, bungkusan dan kargo bergerak melalui pintu masuk tersebut setiap tahun, sekali gus memberi ruang kepada sindiket untuk menyembunyikan dadah di dalam aliran perdagangan yang sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Jabatan Kastam Di­raja Malaysia (JKDM) menum­paskan sindiket pengedaran da­dah antarabangsa melibatkan­ rampasan pelbagai jenis da­dah seberat 4.83 tan bernilai RM300.72 juta menerusi lima kes sepanjang April hingga Jun lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, ke­semua kes melibatkan sindiket berbeza yang menggunakan pel­bagai taktik termasuk membuat pengisytiharan palsu terhadap dagangan dan menyembunyikan dadah dalam bungkusan makanan campuran, sabun, gel rambut serta span.

Shahul Hamid berkata, bagi membanteras pengedaran sindiket dadah antarabangsa, rangkaian mereka perlu diputuskan secara menyeluruh termasuk menjejaki dalang utama.

Jelasnya, pendekatan paling berkesan bukan sekadar meningkatkan jumlah rampasan dadah tetapi turut membanteras rangkaian logistik, mematahkan sindiket pengubahan wang haram dan membekukan sumber kewangan mereka.

Bagi tujuan itu, katanya, usaha penguatkuasaan perlu terus diperkukuh melalui penggunaan teknologi moden seperti analisis data, kecerdasan buatan (AI), sistem pengimbasan berisiko tinggi dan kaedah risikan digital.

“Kerjasama antara agensi dalam negara serta rakan penguat kuasa luar negara seperti Australia, negara-negara Eropah dan negara serantau perlu dipertingkatkan bagi membolehkan perkongsian kepakaran, teknologi serta teknik siasatan yang lebih berkesan.

“Kejayaan sebenar dalam memerangi jenayah dadah bukan hanya diukur melalui jumlah rampasan atau tangkapan, tetapi apabila keseluruhan rangkaian jenayah dapat dilumpuhkan.

“Hanya melalui pendekatan yang menyeluruh, bersepadu dan berterusan barulah ancaman penyeludupan dadah dapat dilemahkan secara lebih berkesan untuk jangka panjang,” katanya.

Mengenai kejayaan JKDM, beliau berpandangan, daripada perspektif kriminologi, kejayaan merampas sejumlah besar dadah hanya menunjukkan sindiket aktif dan sentiasa berinovasi dalam mencari taktik baharu bagi mengelakkan dikesan.

“Mereka menggunakan pelbagai helah seperti menyembunyikan dadah dalam barangan dagangan yang sah, termasuk produk pencuci dan bahan kimia, selain membuat pengisytiharan palsu terhadap kandungan kargo.

“Sindiket dadah antarabangsa juga beroperasi secara rentas sempadan dengan rangkaian yang tersusun dan profesional. Mereka sentiasa mencari laluan yang dianggap kurang berisiko serta mengubah modus operandi mengikut tahap penguatkuasaan di sesebuah negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN