Ahli Parlimen diminta hantar laporan kesihatan sebelum 30 Oktober

Ahli Parlimen diminta hantar laporan kesihatan sebelum 30 Oktober

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen diminta mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan masing-masing selewat-lewatnya 30 Oktober bagi membolehkan rekod kesihatan mereka disimpan sebagai rujukan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, laporan kesihatan itu penting bagi memastikan pihaknya mempunyai maklumat awal mengenai tahap kesihatan setiap Ahli Parlimen.

Beliau berkata, rekod berkenaan akan memudahkan urusan sekiranya seseorang Ahli Parlimen perlu mendapatkan rawatan kecemasan atau dihantar ke hospital.

“Tarikh akhir untuk Yang Berhormat mengemukakan laporan kesihatan ialah Jumaat, 30 Oktober. Laporan kesihatan ini penting kerana sekiranya apa-apa berlaku kepada Yang Berhormat, kita sudah mempunyai maklumat awal.

“Kalaupun kita terpaksa menghantar Yang Berhormat ke hospital, maklumat yang ada pada kita boleh terus diserahkan kepada pihak hospital,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata, Ahli Parlimen yang menjalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana hospital atau pusat perubatan juga diminta mengemukakan salinan laporan berkenaan kepada pegawai perubatan Parlimen.

“Sekiranya Yang Berhormat menjalani medical check-up di mana-mana, boleh hantar laporan itu kepada Dr. Muru supaya ia berada dalam simpanan Parlimen.

“Kita mahu memastikan semua Ahli Parlimen berada dalam keadaan sihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN