Pertembungan klasik Sepanyol, Perancis

Pertembungan klasik Sepanyol, Perancis

Tiga penyerang skuad Perancis (dari kiri), Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise menjalani latihan di Universiti Bentley, Boston sebagai persiapan menentang Sepanyol dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2026, esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALLAS:  Pertembungan separuh akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Perancis, esok disifatkan sebagai pertembungan klasik ‘final sebelum final’ apabila dua pasukan terbaik bakal berentap untuk merebut tiket ke pentas akhir.

Juara Eropah, Sepanyol, kendalian Luis de la Fuente akan berdepan cabaran getir untuk mengekang jentera serangan ampuh Perancis yang diterajui kaptennya, Kylian Mbappe, dalam aksi di Stadium Dallas di Arlington.

Perancis mara bergaya ke separuh akhir hasil ketajaman barisan serangan mereka yang diketuai Mbappe, penjaring lapan gol dalam enam perlawanan setakat ini selain dibantu pemain Bayern Munich, Michael Olise, pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele.

Selain itu, Mbappe juga mendapat sokong terbaik daripada gandingan Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola dan Desire Doue untuk merobek gawang Sepanyol yang kini hanya dibolosi satu gol setakat ini.

Sepanyol melangkah ke kelompok empat terbaik menerusi corak permainan berasaskan penguasaan bola yang menjadi identiti mereka sejak di bawah kendalian De la Fuente.

Jika Perancis banyak bergantung kepada kehebatan individu pemain bertaraf dunia, Sepanyol tampil sebagai sebuah pasukan yang cukup tersusun dengan kekuatan kolektif, dipacu kreativiti Rodri, Pedri dan Fabian Ruiz di bahagian tengah bagi membuka ruang kepada pemain sensasi, Lamine Yamal.

Pertembungan itu dijangka menyaksikan Sepanyol berusaha memutuskan bekalan bola kepada Mbappe dan rakan-rakannya menerusi penguasaan permainan, selain menguji benteng pertahanan Perancis yang hanya dibolosi buat kali pertama ketika menewaskan Belgium 2-1 di suku akhir.

Walaupun tugas itu bukan mudah, Sepanyol mempunyai rekod yang memberi keyakinan apabila menewaskan Perancis 5-4 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA tahun lalu, selain mencatat kemenangan 2-1 pada separuh akhir Kejohanan Eropah 2024 sebelum muncul juara.

De la Fuente mengakui, Sepanyol mempunyai kelebihan ketika berdepa Perancis, namun tetap menghormati keupayaan lawan selain status Les Blues sebagai antara pasukan pilihan pada edisi kali ini.

“Perancis berada pada prestasi terbaik dan mereka memiliki corak permainan yang berbeza. Kami amat menghormati mereka, namun kami percaya mampu menewaskan mana-mana pasukan.

“Kami sedar kekuatan luar biasa mereka, tetapi kami juga tahu kami satu-satunya pasukan yang pernah menewaskan mereka dalam dua aksi separuh akhir,” katanya.

Dalam masa sama, Perancis turut membawa motivasi tersendiri apabila mahu menghadiahkan Didier Deschamps penutup yang sempurna sebelum beliau meninggalkan jawatan sebaik tamat kejohanan.

Kejayaan mara ke separuh akhir menjadikan Perancis hanya negara ketiga dalam sejarah yang berjaya melangkah ke tiga separuh akhir Piala Dunia berturut-turut selepas Jerman (1982-1990 dan 2002-2014) serta Brazil (1994, 1998 dan 2002).

Deschamps bagaimanapun merendah diri apabila ditanya mengenai rahsia kejayaannya membimbing Perancis menjadi antara kuasa besar bola sepak dunia.

“Mungkin kerana saya mempunyai pemain-pemain yang sangat bagus. Tetapi saya rasa saya juga tidak menjalankan tugas dengan terlalu buruk.

“Ini adalah satu perjalanan yang istimewa. Saya memilih pemain-pemain ini dan dapat bersama mereka setiap hari amat bermakna. Saya gembira secara peribadi, dan lebih menggembirakan apabila melihat mereka benar-benar menikmati setiap detik bersama pasukan,” katanya.

Hubungan erat antara Deschamps dan para pemain jelas terpancar apabila Mbappe berlari ke tepi padang memeluk jurulatih itu selepas menjaringkan gol ketika menentang Sweden, sejurus Deschamps kembali menyertai skuad selepas pulang ke Perancis berikutan pemergian ibunya. – AGENSI

FAKTA MENARIK 

Perancis merupakan negara ketiga dalam sejarah yang berjaya melangkah ke tiga separuh akhir Piala Dunia berturut-turut selepas Jerman (1982-1990 dan 2002-2014) serta Brazil (1994, 1998 dan 2002).

 

Perancis
Formasi: 4-2-3-1
Jurulatih: Didier Deschamps
Penjaga gol: Mike Maignan
Pertahanan: Jules Koundé, Dayot Upamecano, William Saliba, Lucas Digne
Tengah bertahan: Aurélien Tchouaméni, Adrien Rabiot
Tengah menyerang: Ousmane Dembélé, Michael Olise, Bradley Barcola
Penyerang: Kylian Mbappé

PEMAIN TUMPUAN

Kylian Mbappé
Kapten Perancis itu kekal menjadi ancaman terbesar pasukannya menerusi kepantasan luar biasa, penyudah tajam dan pengalaman di pentas antarabangsa yang mampu mengubah keputusan perlawanan pada bila-bila masa

Ousmane Dembele.

Pemenang Ballon d’Or ini tidak boleh dibiarkan bergerak bebas di kawasan Sepanyol kerana rembatannya hadir tanpa dijangka dan sedikit kealpaan barisan pertahanan boleh menjadi kesilapan besar.

 

SEPANYOL

4-3-3

Juruatih: Luis de la Fuente

PENJAGA GOL: Unai Simon

PERTAHANAN: Pedro Porro, Pau Cubarsi, Aymeric Laporte, Marc Cucurella

TENGAH:  Rodri, Pedri, Alex Baena 

SERANGAN: Lamine Yamal, Dani Olmo, Mikel Oyarzabal

 

PEMAIN TUMPUAN

MIKEL MERINO

Pemain ini sudah meledak dua gol kemenangan buat Sepanyol di pusingan 16 dan suku akhir. Sangat berkesan apabila dimasukan sebagai pemain gantian.

MIKEL OYARZABAL

Pemain ini merupakan pakar penyudah klinikal yang memiliki kecerdasan taktikal luar biasa serta ketajaman dalam situasi tekanan tinggi. 

 

RAMALAN

Perancis menang 60%

Sepanyol menang 40%

PRATONTON PERLAWANAN

Perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Perancis di Stadium Dallas dijangka seimbang pada awal permainan bagi membuka ruang kedua-dua pasukan membawa gerakan lawan. Penonton bakal disajikan dua falsafah bola sepak yang berbeza, Perancis yang bergantung kepada kepantasan serangan balas dan ketajaman penyudah, manakala Sepanyol pula menguasai permainan menerusi penguasaan bola serta disiplin taktikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN