Yamal buru jejak Mbappe

Yamal buru jejak Mbappe

Ulang tahun kelahiran Lamine Yamal ke-19 jatuh sehari sebelum aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 menentang Perancis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALLAS: Lamine Yamal berpeluang mengikut jejak langkah Kylian Mbappe menjulang Piala Dunia ketika masih remaja, namun bintang muda Sepanyol itu terlebih dahulu perlu membantu pasukannya menyingkirkan Perancis pada aksi separuh akhir, esok.

Ketika Mbappe meledak gol dalam kemenangan Perancis ke atas Croatia pada final Piala Dunia 2018, penyerang itu baru berusia 19 tahun 207 hari, sekali gus muncul pemain remaja kedua menjaringkan gol dalam final selepas legenda Brazil, Pele.

Kejohanan di Rusia itu menjadi titik permulaan hubungan istimewa Mbappe dengan Piala Dunia, manakala edisi 2026 pula merupakan penampilan sulung Yamal di pentas terbesar bola sepak dunia.

Bagaimanapun, pemain sayap Barcelona itu sudah mencipta nama di pentas antarabangsa apabila meledak gol sensasi ketika membantu Sepanyol menewaskan Perancis 2-1 pada separuh akhir Euro 2024.

Empat hari kemudian, sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-17, Yamal menyaksikan Sepanyol muncul juara Eropah selepas menewaskan England dalam perlawanan akhir, selain dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik kejohanan.

Kini, ulang tahun kelahirannya yang ke-19 pula hadir sehari sebelum aksi separuh akhir menentang Perancis di Arlington.

Meskipun usianya masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang, Yamal jelas bertekad meninggalkan impak besar pada Piala Dunia kali ini.

Hasrat itu menjadi lebih kuat selepas dia hampir terlepas kejohanan akibat kecederaan otot paha yang menyebabkan dia terlepas aksi penghujung musim bersama Barcelona.

“Saya bimbang kecederaan itu serius dan lebih membimbangkan jika ia berulang sehingga menyebabkan saya terlepas Piala Dunia,” kata Yamal.

Selepas hanya beraksi sebagai pemain gantian ketika Sepanyol seri tanpa jaringan dengan Cape Verde dalam aksi pembukaan, Yamal diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Arab Saudi sebelum menjaringkan gol dalam kemenangan 4-0, namun dikeluarkan pada waktu rehat.

Sejak itu dia kekal menjadi pilihan utama, namun masih gagal menambah koleksi jaringan, sesuatu yang dipercayai mula memberi tekanan kepada dirinya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN