IPOH: Seorang lelaki yang disyaki cuba memecah masuk sebuah rumah di Jalan Building Society, Taman Star di sini semalam, maut disebabkan masalah saluran jantung tersumbat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, punca kematian lelaki tempatan berusia 40 tahun itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari sama.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5 pagi apabila dua suspek memasuki rumah berkenaan melalui tingkap yang diumpil sebelum berlaku pergelutan dengan penjaga rumah.
“Seorang daripada suspek dipercayai berjaya melarikan diri, manakala seorang lagi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat masalah saluran jantung tersumbat,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kematian suspek diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) manakala siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan masih diteruskan,” katanya.-UTUSAN










