Lebih 90 peratus anggota Tentera Darat keluar mengundi

Lebih 90 peratus anggota Tentera Darat keluar mengundi

SEBAHAGIAN anggota tentera darat yang menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pengundian awal di Pusasda, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Lebih 90 peratus anggota Tentera Darat dan pasangan mereka dijangka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata, jangkaan itu berdasarkan rekod peratusan keluar mengundi awal anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada PRN Johor sebelum ini.

Beliau berkata, setakat pukul 9.41 pagi, peratusan keluar mengundi awal di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini melebihi 50 peratus.

“Saya menjangkakan ia akan mencapai lebih 90 peratus. Bagaimanapun, jumlah sebenar hanya akan diketahui selepas proses pengundian tamat pada pukul 5 petang ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Pusasda, di sini, hari ini.

Azhan berkata, seramai 16,884 anggota ATM dan pasangan mereka berdaftar sebagai pengundi awal manakala 5,575 lagi merupakan pengundi pos.

“Pengundian pos telah bermula pada 20 Julai lalu dan akan berakhir pada 31 Julai ini.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan kelancaran proses pengundian dan saya akan meneruskan lawatan ke beberapa kem lain termasuk kawasan DUN Linggi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun menjangkakan kadar keluar mengundi awal bagi anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing boleh mencapai sehingga 90 peratus.

Beliau berkata, sehingga pukul 10 pagi, kadar keluar mengundi awal direkodkan sebanyak 34.26 peratus.

“Insya-Allah sehingga petang nanti kami menjangkakan kadar keluar mengundi ini boleh mencapai sehingga 90 peratus keseluruhan.

“Kami harap ia boleh melebihi 90 peratus kerana di Johor baru-baru ini kita mencapai 94 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kadar keluar mengundi tidak dijangka mencapai 100 peratus berikutan beberapa faktor tidak dapat dielakkan.

Katanya, sebanyak 38 pusat mengundi awal membabitkan 70 saluran dibuka di seluruh Negeri Sembilan melibatkan 11,293 anggota tentera dan 5,174 anggota polis.

“Sebanyak 17 pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat pada pukul 12 tengah hari, tiga pusat pada pukul 2 petang dan 18 pusat pada pukul 5 petang,” katanya.

Dalam pada itu, SPR menjangkakan kadar keluar mengundi pada hari pengundian Sabtu ini sekitar 72 hingga 75 peratus berdasarkan suasana kempen yang sengit di Negeri Sembilan.

Ramlan berkata, pihaknya menerima 206 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya, khusunya membabitkan kesalahan kecil seperti bahan kempen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN