LADEH bimbing Murid Orang Asli jadi pelajar cemerlang

LADEH bimbing Murid Orang Asli bersemangat jadi pelajar cemerlang

Nor Azman Ismail (duduk, tengah) bersama murid Orang Asli dan ibu bapa yang menghadiri Program Langkah Denai Harapan di Sekolah Kebangsaan Pedah, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 30 orang murid Orang Asli teruja apabila menyertai Program Langkah Denai Harapan (LADEH) anjuran Bahagian Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pedah, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Program motivasi itu dikendalikan oleh seorang guru praktikum daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Lipis, Ahmad Dhani Abdullah yang kebetulan menyertai latihan mengajar selama dua minggu di sekolah itu.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK Pedah, Nor Azman Ismail berkata, kehadiran guru tersebut menyuntik semangat murid Orang Asli daripada kawasan petempatan terletak di pesisir Sungai Pahang daerah Jerantut untuk rajin hadir ke sekolah serta belajar bersungguh.

“Bagai ‘pucuk dicita ulam mendatang’ kehadiran guru berkenaan ke sekolah ini yang mengajar subjek bahasa Melayu amat tepat dan sesuai untuk memberikan motivasi supaya murid Orang Asli di sini cintakan ilmu serta berjaya dalam kehidupan pada masa akan datang.

“Pihak sekolah menganjurkan Program Ladeh bagi menarik minat murid Orang Asli rajin ke sekolah secara berterusan dan konsisten sekali gus dapat membiasakan diri dengan iklim persekolahan seperti kalangan murid Melayu di sini,” katanya di SK Pedah, Jerantut baru-baru ini.

Yang turut hadir, iaitu aktivitis masyarakat Orang Asli Jerantut Ahmad Faroq Fauzi yang turut berceramah menitip kesedaran belajar kepada murid berkenaan dan ibu bapa mereka.

Menurut Nor Azman, kehadiran guru berkenaan yang juga berketurunan Orang Asli daripada Kampung Sungai Kiol, Jerantut secara langsung dapat menyuntik semangat murid Orang Asli supaya belajar bersungguh serta merangsang minat dengan aktiviti koakademik, kokurikulum dan pembinaan insan.

Sementara itu, aktivis masyarakat Orang Asli Jerantut, Ahmad Faroq berkata, guru berkenaan boleh dijadikan teladan bagi murid Orang Asli mengenai kecemerlangan pendidikannya sehingga membolehkan dia melanjutkan pengajian ke peringkat IPGM.

“Ketokohan dan kebolehan guru ini sebagai motivator boleh membantu menyuntik semangat dan inspirasi kalangan murid Orang Asli supaya belajar sehingga ke peringkat tinggi,” katanya.

Katanya, program itu juga dapat mengeratkan hubungan dengan ibu bapa murid berkenaan yang menjadi penggalak utama anak mereka hadir ke sekolah.

Dalam pada itu, guru praktikum berkenaan, Ahmad Dhani Abdullah berkata, apabila tiba untuk mengikuti praktikum selama dua minggu di sekolah tersebut, dia sangat gembira serta penuh semangat untuk berhadapan murid Orang Asli di situ.

“Saya menjalani latihan praktikum mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dalam kalangan murid Orang Asli termasuk Melayu dan tidak berdepan masalah kerana guru dan murid di sini memberikan kerjasama malahan begitu ceria menyambut kehadiran di sini,” katanya.

Ahmad Dhani juga merupakan Orang Asli etnik Jahut berasal daripada Kampung Orang Asli Sungai Kiol, Jerantut sangat teruja apabila dilantik oleh Guru Besar, Nor Azman Ismail sebagai penceramah motivasi kepada murid Orang Asli sempena program tersebut.

“Program ini cukup signifikan kerana dapat menyuntik inspirasi dalam kalangan murid Orang Asli hadir ke sekolah menuntut ilmu hingga ke peringkat yang lebih tinggi dan memperoleh pekerjaan bagi mengubah kehidupan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya, latihan praktikum selama dua minggu di situ meninggalkan banyak kenangan dan pada masa yang sama membina dirinya sebagai seorang ‘pendidik’ menerusi tunjuk ajar guru besar dan guru di situ.

Murid Orang Asli Tahun Enam, Vina Keluna berkata, dia berazam akan belajar bersungguh sehingga berjaya ke peringkat tinggi selepas mendengar ceramah motivasi guru berkenaan.

Ujarnya, sebelum ini pun dia sudah berminat ke sekolah untuk belajar dan akan mempergiat usaha supaya pencapaiannya dalam pelajaran setanding dengan rakan dalam kalangan orang Melayu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN