Kuasa prerogatif raja benteng kestabilan negara

Kuasa prerogatif raja benteng kestabilan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuasa prerogatif Raja-Raja Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri merupakan mekanisme penting bagi menjamin kelangsungan pemerintahan negara, khususnya ketika berdepan situasi luar biasa.

Pengasas Jurisprudens Watan dan Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, sistem perlembagaan Malaysia yang berteraskan warisan Kesultanan Melayu telah membuktikan keupayaannya menguruskan pelbagai keadaan yang tidak diperincikan secara bertulis dalam Perlembagaan.

Pengalaman negara melalui beberapa episod pelantikan Perdana Menteri dalam tempoh singkat sebelum ini misalnya, menunjukkan kuasa prerogatif raja pemerintah memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan pentadbiran negara.

“Perlembagaan kita mewarisi adat perlembagaan yang sedia ada di Tanah Melayu, kemudian diperkukuhkan apabila syariat Nabi Muhammad SAW mula dianuti oleh raja pemerintah tempatan.

“Sifat perlembagaan kita yang merupakan warisan Kesultanan Melayu mengekalkan kedudukan raja pemerintah dalam struktur tadbir urus Malaysia yang memiliki prerogatif. Kedudukan itu dipelihara menerusi Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Justeru, kita dapat melihat bagaimana prerogatif diraja mampu menguruskan keadaan yang tidak diperuntukkan secara khusus dalam Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau mengulas titah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menegaskan kuasa raja dalam melantik seseorang ke sesuatu jawatan atau memberikan pengampunan tidak wajar dipertikai atau dicabar kerana ia diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang (UTKP).

Mengulas dakwaan keputusan raja boleh dipengaruhi pertimbangan politik, Wan Ahmad Fauzi menjelaskan politik tidak boleh dipisahkan sepenuhnya daripada institusi raja kerana baginda merupakan pemerintah utama di peringkat Persekutuan dan negeri.

Namun katanya, apa yang perlu dibezakan ialah pengaruh politik kepartian yang tidak seharusnya mempengaruhi pelaksanaan kuasa prerogatif raja pemerintah.

“Raja pemerintah menegakkan Perlembagaan dan tadbir urus legislatif, eksekutif serta kehakiman dengan menanggung amanah.

“Bukan sahaja raja pemerintah perlu berdiri lebih tinggi daripada politik kepartian, malah mereka yang melaksanakan fungsi kuasa raja pemerintah juga perlu menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan, mengatasi kepentingan politik kepartian pada saat mereka mengikrarkan sumpah jawatan masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, dalam pelantikan Perdana Menteri misalnya, raja pemerintah bukan sekadar memilih individu yang memenuhi syarat seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan, sebaliknya memastikan calon berkenaan mampu menjunjung sumpah jawatan dan melaksanakan amanah pemerintahan.

Malah, katanya, kuasa prerogatif pengampunan pula dilaksanakan selepas raja pemerintah mempertimbangkan nasihat Lembaga Pengampunan serta mempunyai alasan yang menepati syariat Islam.

“Prerogatif tersebut tidak tertakluk kepada pengaruh politik kepartian, sebaliknya berasaskan maslahah yang diizinkan syarak, selaras dengan kedudukan baginda sebagai pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT,” katanya.

Mengulas sama ada terdapat institusi yang boleh menyemak atau mengimbangi kuasa raja dalam perkara berkaitan pelantikan atau pengampunan, Wan Ahmad Fauzi berkata, setiap keputusan pemerintahan memerlukan titik penamat bagi memastikan pentadbiran negara dapat berjalan dengan sempurna.

“Setiap keputusan perlu ada noktah. Tanpa satu noktah, pemerintahan tidak dapat berjalan dengan sempurna. Prerogatif diraja itulah yang meletakkan noktah tersebut.

“Raja pemerintah tidak menoktahkan suatu keputusan begitu sahaja. Meskipun noktah itu tidak lagi boleh dipersoalkan di mahkamah dunia, tetapi noktah itu perlu dibuat dengan penuh bertanggungjawab kerana baginda akan dipersoalkan pada hari hisab kelak,” katanya.

Beliau berkata, sebab itu Tengku Ampuan Pahang,Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menekankan aspek etika pemerintahan yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka dan kemudiannya dilestarikan menerusi Hukum Kanun Pahang serta kanun-kanun negeri yang lain.

“Lantaran itu, Tengku Ampuan Pahang menekankan juga aspek etika pemerintahan yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka serta dilestarikan dalam Hukum Kanun Pahang dan hukum kanun yang lain.

“Seperti baginda kupas, prerogatif itu terpelihara dalam UTKP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN