Kor Ming gesa henti retorik 'pendatang', utamakan perpaduan

Kor Ming gesa henti retorik ‘pendatang’, utamakan perpaduan

NGA Kor Ming ketika berucap pada majlis makan malam Kekal Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah, Tampin semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua pihak digesa menghentikan retorik berbaur perkauman termasuk melabel mana-mana pihak sebagai ‘pendatang’, sebaliknya mengutamakan perpaduan nasional serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, Malaysia yang bakal menyambut hampir 70 tahun kemerdekaan perlu terus bergerak ke hadapan dengan semangat saling menghormati dan kasih sayang, tanpa naratif yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum.

Katanya, kepelbagaian budaya dan kaum merupakan kekuatan negara yang telah membentuk Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

“Kita telah hidup dan membesar bersama di tanah air ini selama tujuh dekad. Sudah tiba masanya untuk kita melangkah ke hadapan sebagai satu keluarga besar yang saling hormat-menghormati dan bersikap penyayang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Kekal Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah, di sini semalam.

Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan penyokong DAP daripada pelbagai kaum sebagai pendatang adalah bersifat rasis dan ketinggalan zaman.

Beliau turut membidas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwanya berbaur perkauman serta cuba memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.

Katanya, laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan tersebut dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi mempertahankan perpaduan serta keharmonian masyarakat.

“Cara Perikatan Nasional (PN) menabur fitnah dan menanam kebencian adalah politik toksik yang sedang merosakkan bangsa dan negara kita.

“Memandangkan laporan polis telah dilakukan, pihak berkuasa wajib ambil tindakan segera untuk mempertahankan perpaduan dan keharmonian masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN